HomeBeritaPolitikPRN Kelantan dijangka Julai atau Ogos

PRN Kelantan dijangka Julai atau Ogos

KOTA BHARU: PAS Kelantan memberi bayangan Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri berkenaan akan diadakan antara bulan Julai atau Ogos depan.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, keputusan itu akan dibuat berdasarkan tempoh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan yang berakhir pada 26 Jun ini.

Katanya, pada awalnya tiga buah negeri bawah pentadbiran PAS iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah merancang untuk mengadakan PRN pada bulan Mac, namun terpaksa ditangguhkan atas beberapa perkara.

“Apabila perbincangan dilakukan, ramai yang berpendapat PRN yang dirancang pada Mac perlu ditangguhkan atas sebab beberapa isu termasuk tarikh bertembung dengan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) selain kedatangan bulan Ramadan.

“Secara peribadinya, jika PRN tidak dibuat sebelum Ramadan, jadi perlu tunggu sehingga tempoh penggal DUN berakhir pada 26 Jun depan,” katanya seperti dilapor Utusan hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darulnaim, disini, pada Rabu.

Tambah beliau, setakat ini, pihaknya masih belum mengemukakan senarai calon untuk PRN nanti namun PAS masih mengekalkan kaedah yang diamalkan sejak dahulu iaitu mengetengahkan 30 peratus muka baharu.

“Kita ada cadangan untuk memudahkan pembahagian kerusi dengan menggunakan formula sama seperti yang dilakukan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Ketika itu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menerima pembahagian kerusi Parlimen yang dibuat dengan baik, tetapi, kita belum mengadakan perbincangan untuk kerusi DUN dengan mereka,” ujarnya.

Author

Pilihan Editor