HomeBerita'Rider' serah memorandum bantahan secara aman kepada Foodpanda

‘Rider’ serah memorandum bantahan secara aman kepada Foodpanda

KUALA LUMPUR: Satu serahan memorandum bantahan secara aman dilakukan sekumpulan penghantar makanan (rider) Syarikat Foodpanda (M) Sdn Bhd kepada syarikat tersebut.

Serahan itu dilakukan sekumpulan ‘rider’ dari kawasan Petaling Jaya, Ara Damansara dan Kota Damansara yang diwakili Pengarah Strategi Angkatan Muda Keadilan (AMK), Bryan Ng Yih Miin di Ibu Pejabat Foodpanda (M), Southgate Commercial Centre pada Jumaat.

Antara isu yang dibangkitkan ‘rider’ tersebut ialah pembesaran zon kawasan bekerja serta kadar bayaran upah yang semakin berkurangan.

Susulan penyerahan memorandum tersebut yang diterima oleh Pengarah Operasi Foodpanda, Kelvin Chan, Bryan dan empat wakil ‘rider’ Foodpanda telah mengadakan mesyuarat bagi membincangkan isu berbangkit yang telah berjalan selama satu jam setengah.

Bryan yang juga selaku Pengerusi P-hailing Taskforce, turut berterima kasih kepada pihak Foodpanda kerana sudi menerima petisyen mengenai isu-isu yang dihadapi ‘rider’ sejak akhir-akhir ini dan bermesyuarat bersama-sama dengan mereka.

“Terutamanya isu sempadan zon yang diperbesarkan dan diperlebarkan akhir-akhir ini di Petaling Jaya, Kota Damansara dan Ara Damansara yang menyebabkan ramai ‘rider’ tidak puas hati.

“Kerana pendapat mereka ialah pembesaran dan pelebaran sempadan ini telah menyebabkan upah mereka tidak ‘proportionate’ (berkadar) pada jarak yang ada tersebut.

“Jarak lebih jauh tetapi kadar tersebut nampaknya kurang, mereka tidak berpuas hati dengan perkara tersebut dan juga beberapa perkara yang telah pun kami sampaikan dalam mesyuarat bersama dengan Kelvin Chan yang telah kita bincangkan tadi,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat tersebut.

Beliau juga berharap, mereka boleh menyelesaikan isu ini dan semua pihak boleh mendapat manfaat daripada penyelesaian tersebut dengan situasi menang-menang yang boleh dicapai untuk kali ini.

Turut hadir bersama beliau adalah seramai kira-kira lebih 50 ‘rider’ Foodpanda yang turun menyatakan ketidakpuasan hati mereka melalui memorandum yang diserahkan itu.

Author

Pilihan Editor