HomeHiburanYura Yunita kongsi pengalaman hidup di atas pentas Malaysia

Yura Yunita kongsi pengalaman hidup di atas pentas Malaysia

KUALA LUMPUR: Penyanyi Indonesia, Yura Yunita yang terkenal dengan lagu puitis ciptaannya menunai janjinya kepada peminat Malaysia menerusi Pertunjukan Tutur Batin Live Concert Kuala Lumpur pada Khamis malam.

Bekas peserta pertandingan realiti, The Voice ini yang mencipta nama sejak 10 tahun lalu berkongsi perasaan teruja untuk bertemu dengan peminat di negara ini.

“Dua tahun saya menyimpan impian untuk beraksi secara langsung di hadapan peminat di Malaysia dan apabila hasrat ini direalisasi, saya rasa bersyukur.

“Konsert yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur ini juga merupakan lokasi pertama jelajah konsert saya sebelum ke lokasi lain.

“Semoga dengan penghargaan kecil ini dapat melunaskan hutang saya kepada peminat di sini yang sentiasa memberi sokongan tidak berbelah bahagi,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Yura Yunita yang merupakan penerima anugerah Artis Solo Wanita Pop Terbaik pada Anugerah Musik Indonesia 2022 lalu memberitahu Pertunjukan Tutur Batin Live Concert Kuala Lumpur menjadi pentas terbaik buat dirinya.

“Di sini saya berkongsi apa yang dilaluinya bukan sahaja sebagai seorang anak seni tetapi seorang wanita dan juga isteri.

“Sejak album pertama sehingga Merakit dan kini, Tutur Batin, ada banyak perkara yang saya kongsikan bersama peminat menerusi karya.

“Di sini saya dan peminat berkongsi rasa dan meraikan kehidupan yang penuh berliku, tetapi tidak pernah patah semangat untuk sentiasa berjuang.

“Soalnya setiap daripada kita mempunyai dugaan berbeza, sama seperti saya.

“Cumanya saya diberi kelebihan untuk berkongsinya melalui lagu-lagu ciptaan saya yang akan saya persembahkan kepada peminat saya di Malaysia,” katanya.

Merupakan rakan duet mendiang Glenn Fredly untuk lagu, Cinta Dan Rahasia, Yura yang juga penerima anugerah Pencipta Lagu Terbaik pada Anugerah Musik Indonesia 2017 (AMI 2017) dan menjadi Penyanyi Solo Wanita Terbaik (AMI 2018) akan membawakan lagu-lagu terbaiknya pada konsert tersebut antaranya Tutur Batin dan Dunia Tipu-Tipu.

Sementara itu Pengarah Urusan Renjana Idea, Aliya Arisya Anuar berkata, pihaknya berbesar hati membawa Yura ke Malaysia dalam menjawab permintaan peminat penyanyi ini yang mahukan Yura mengadakan persembahan di sini.

“Karya Yura mempunyai aura yang kuat dan selalu berbicara mengenai semangat dan inspirasi  dalam kehidupan.

“Karyanya banyak menyentuh mengenai kelebihan dan kekurangan manusia sehingga mengajak kita agar kuat percayakan diri.

“Lagu seperti Dunia Tipu-Tipu, Cinta dan Rahasia dan Tutur Batin antara bukti karya Yura memberi inspirasi kepada kita,” katanya.

 

Author

Pilihan Editor