HomeBeritaSasaran 14 siri program Jelajah Saya Digital tahun ini 

Sasaran 14 siri program Jelajah Saya Digital tahun ini 

 

KUALA LUMPUR: Sebanyak 14 siri Program Jelajah Saya Digital dijangka dilaksanakan di seluruh negara pada tahun ini dengan sasaran 200 hingga 500 peserta bagi setiap lokasi.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, program anjuran Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) itu, dilihat mampu mewujudkan kesedaran tentang teknologi digital dan penyelesaian gaya hidup pintar dalam kalangan rakyat.

Beliau berkata, di mana sahaja destinasi program jelajah tersebut selepas ini, fokus akan diberikan kepada kawasan luar bandar iaitu kawasan yang kerajaan ingin bantu dari segi ekonomi digital.

“Saya juga ingin memberi fokus terutama di kawasan yang ramai anak mudanya mungkin menghadapi sedikit kesukaran untuk mencari kerja atau terlibat dalam bidang pekerjaan.

“Kita lihat banyak peluang yang ada, kita cuma perlu pergi bertemu dengan mereka,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran Program Jelajah Saya Digital @ Lembah Pantai di sini, pada Sabtu.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), Datuk Seri Mohammad Mentek dan Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Mahadhir Aziz.

Program Jelajah Saya Digital @ Lembah Pantai merupakan siri jelajah pertama bagi tahun ini yang melibatkan lebih 20 reruai pameran daripada agensi kewangan dan usahawan program MDEC, serta menarik lebih 400 pengunjung terdiri penduduk sekitar, pelajar institut pengajian tinggi dan pelatih institusi kemahiran.

Jelajah tersebut memberi tumpuan kepada empat teras iaitu program Saya Digital Literasi, Perniagaan, Pendapatan dan Modal Insan dengan menyasarkan golongan seperti B40, graduan menganggur, warga emas, pelajar sekolah dan universiti, serta usahawan mikro, kecil dan sederhana.

Inisiatif Saya Digital juga telah mewujudkan program seperti eUsahawan, eRezeki dan Global Online Workforce (GLOW) bagi meningkatkan keupayaan usahawan mengguna pakai teknologi digital dan meningkatkan jualan serta pendapatan.

Turut dilancarkan pada majlis sama ialah Digital Ninja 2023, program kepimpinan dan peningkatan skil digital dengan menyasarkan golongan muda berumur 11 hingga 17 tahun yang mempunyai bakat serta rekod cemerlang dalam bidang kreativiti digital dan solusi berinovasi.

Peserta Digital Ninja akan dibimbing menjadi tenaga mahir dan pemain industri digital yang akan menyumbang kembali kepada masyarakat setempat. – BERNAMA

Authors

Pilihan Editor