HomeBeritaSelepas dua dekad, pewaris tanah Sultan temui Exsim

Selepas dua dekad, pewaris tanah Sultan temui Exsim

BUKIT JALIL: Penantian 20 tahun pewaris tanah kurniaan sultan, Muhammad Omar Unni, berakhir apabila dapat bersemuka sendiri dengan pihak Syarikat pemaju, Exsim Development Sdn Bhd (Exsim) hari ini.

Pertemuan pihak Muhammad Omar dan Exsim berlangsung kira-kira 30 minit di bangunan ibu pejabat Exsim, di sini, bagi mencari titik penyelesaian berhubung isu tanah yang dikaitkan, iaitu Lot 189 Jalan Yap Kwan Seng di Kuala Lumpur.

Berdasarkan hasil pertemuan itu, Muhammad Omar berkata, perkara itu memberikan sinar kepada kedua-dua pihak apabila masing-masing memberi pencerahan dan penjelasan secara bersemuka, berbanding menerusi pihak firma guaman masing-masing, sebelum ini.

Omar berkata, kerjasama yang diberikan pihak Exsim dan anak syarikatnya, Suriamas Lumayan Sdn Bhd (Suriamas) yang membeli tanah berkenaan amat baik, ketika pertemuan itu.

“Satu layanan yang baik, dan pegawai dan kakitangan Exsim yang sudi mendengar hujahan kami.

“Walaupun pihak Exsim tidak memberikan sebarang kata putus kerana pemilik Exsim tidak ada pada pertemuan ini, kami akan terus melakukan tindakan seterusnya sehingga berakhir dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas pertemuan itu, bersama isterinya, yang turut dihadiri penasihat undang-undang Roslan Ahmad.

Pihak Mohammad Unni dijangka menghantar laporan ke pihak peguam Exsim, Damian Kiethan dari Firma Raj, Ong, Yudistra, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Datuk Bandar Kuala Lumpur berhubung isu tuntutan itu.

Memetik laporan MEDIA VARIASI secara eksklusif, mendedahkan kegiatan ‘toyol’ tanah yang berani memindah milik nama tanpa kebenaran pemilik asal tanah kurniaan Sultan Selangor kepada tiga penama dalam sehari.

Lebih mengejutkan, selain tiga penama tanah dipindah milik dalam sehari itu, dokumen perakuan status tanah di Pejabat Tanah dan Galian (PTG) iaitu dokumen AA 1/62 turut diragui kesahihannya.

Kegiatan ‘toyol’ ini bermula di PTG di mana penukaran tanpa kebenaran berlaku pada 31 Mac 1965.

Mantan Menteri Besar Selangor ketika itu, Datuk Abd Aziz Abd Majid didakwa telah memasukkan namanya ke dalam geran Lot 189 Jalan Yap Kwan Seng tanpa merujuk dokumen AA/162.

Lapan bulan selepas penukaran nama itu, toyol kemudiannya memindahkan kepada nama isteri Abd Aziz, Raja Teh Zaiton pada 4 November 1995.

Berlaku perkara yang amat ajaib pada 4 Oktober 1996 apabila ‘toyol’ memindahkan daripada nama Raja Teh Zaiton kepada dirinya sendiri iaitu Raja Teh Zaiton.

Beberapa jam kemudian nama Raja Teh Zaiton dipindahkan ke syarikat pemaju Sea Strategy Sdn Bhd sebelum memindahkan nama tanah kepada syarikat Grand Monarch Sdn Bhd.

Lebih aneh, Sea Strategy dan Grand Monarch pemiliknya sama iaitu Tan Kim Seng dan itulah yang berlaku pada 4 Oktober 1996.

Author

Pilihan Editor