HomeMV+EksklusifSkandal MAINS: Pengurus zakat gaji RM20,000, terima pampasan RM680,000

Skandal MAINS: Pengurus zakat gaji RM20,000, terima pampasan RM680,000

BANGI: Skandal penyelewengan duit zakat Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) berjumlah RM7.2 juta, menimbulkan persoalan ramai apabila pernah diklasifikasikan No Further Action (NFA) pada tahun 2020 oleh SPRM.

Bagaimanapun, siasatan dijalankan semula oleh SPRM susulan baru-baru ini, tularĀ  dokumen yang mempamerkan wujudnya salah laku pembayaran pampasan ‘luar biasa’ sebanyak RM7.2 juta kepada 54 kakitangan Pusat Zakat Negeri Sembilan.

Polis Negeri Sembilan turut mengesahkan bahawa kertas siasatan telah dibuka semula berhubung dakwaan penyelewengan wang zakat melibatkan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) Zakat Sdn Bhd, mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan iaitu pecah amanah.

Namun di sebalik semua laporan media itu, ramai yang tidak tahu bahawa pendapatan kakitangan di Pusat Zakat Negeri Sembilan amat lumayan.

Menurut sumber, Pengurus Besar pusat zakat bergaji RM20,000 sebulan manakala pegawai-pegawai lain mendapat pendapatan hampir belasan ribu sebulan.

“Kerani pun boleh capai gaji antara RM6,000 hingga RM7,000 sebulan.

“Pendapatan ini diambil daripada zakat yang mencatatkan kutipan sebanyak RM140 juta setahun.

“Seramai 54 kakitangan menerima pampasan antara RM40,000 hingga RM680,000 pada tahun 2019.

“Dan pengurus besar berkenaan menerima RM680,000, itu antara punca siasatan dibuka semula,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Pada 9 Februari lalu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail dilaporkan berkata, siasatan pada 2019 berhubung isu dakwaan penyelewengan wang zakat melibatkan MAINS Zakat Sdn Bhd tidak menemukan sebarang unsur kesalahan jenayah rasuah di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

MAINS juga dilaporkan turut mengeluarkan kenyataan menafikan tohmahan dan fitnah yang disebarkan melalui media sosial, berkenaan salah guna wang zakat di Negeri Sembilan.

Sebelum ini, tular di aplikasi Telegram mengenai laporan pecah amanah wang kutipan zakat melibatkan pegawai jabatan tersebut.

Author

Pilihan Editor