HomeBeritaPolitikTerima bekas ahli UMNO hanya akan rosakkan perpaduan PH, BN - Penganalisis

Terima bekas ahli UMNO hanya akan rosakkan perpaduan PH, BN – Penganalisis

CYBERJAYA: Penerimaan PKR terhadap bekas ahli UMNO yang dipecat ke dalam parti mereka hanya akan merosakkan kerajaan sekarang dan perpaduan di antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Perkara tersebut ditegaskan penganalisis politik yang menjangkakan PKR tidak akan menerima bekas ahli UMNO yang ingin menyertai parti itu, ketika dihubungi MEDIA VARIASI pada Rabu.

Terdahulu, beberapa ahli UMNO telah digantung serta dipecat daripada parti pada Januari lalu, sebagai langkah ‘pembersihan’ parti.

Susulan dipecat, beberapa media melaporkan desas-desus bekas ahli-ahli UMNO tersebut berhasrat untuk menyertai PKR, sekaligus menimbulkan tanda tanya sama ada mereka akan diterima atau tidak.

Pensyarah Kanan Pusat Perdana Fakulti Teknologi Dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali berkata, beliau merasakan PKR tidak akan menerima mereka itu.

Dr Mazlan Ali

“Saya rasa PKR tak ambil kot, sebab UMNO dah sebut yang mereka tidak mahu pemimpin yang ada masalah disiplin seperti dipecat atau digantung, diterima oleh parti yang lain.

“Saya dengar kenyataan daripada dua parti sebelum ini iaitu PKR dan Amanah menyatakan mereka kena bincang dulu di peringkat pucuk pimpinan untuk menentukan adakah mereka boleh terima, dan Amanah ada menyebut mereka keberatan untuk menerima pemimpin yang ada masalah disiplin.

“Jadi, saya fikir, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Presiden PKR ambil perhatian benda ini, sebab yang mohon ini adalah orang yang dipecat atau pun digantung dalam parti, bukan permohonan biasa.

“Sudah pasti UMNO tidak suka, dan oleh kerana UMNO dan PH sekarang bekerjasama dalam Kerajaan Perpaduan, jadi untuk menjaga hubungan itu sudah pastilah mereka akan tolak,” jelasnya.

Tambahnya, jika PKR menerima bekas ahli-ahli UMNO itu menyertai parti, mereka hanya akan menjadi ‘duri dalam daging’ kepada Kerajaan Perpaduan dan merosakkan hubungan di antara PH dan BN.

Dr Syed Agil Alsagoff

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Syed Agil Alsagoff pula berkata, penerimaan mereka ke dalam PKR akan menimbulkan konflik.

“Mungkin PKR pun kena berunding dahulu dengan UMNO, sebab tak nak menimbulkan masalah. Ini kerana mereka ini sedang dalam satu kesatuan, dalam satu Kerajaan Perpaduan.

“Kalaulah ahli UMNO yang dipecat itu masuk ke PN, tidak ada masalah, cuma saya nampak, kemungkinan akan ada konflik kalaulah PKR menerima bekas ahli-ahli UMNO ini,” katanya.

Author

Pilihan Editor