HomeBeritaTikTok Malaysia kini lebih banyak beri kesedaran awam

TikTok Malaysia kini lebih banyak beri kesedaran awam

KUALA LUMPUR: Algoritma media sosial TikTok Malaysia dilihat semakin berubah ke arah lebih baik.

Aplikasi berkenaan kini lebih sensitif kerana setiap kandungan perlu melalui proses penapisan dari segala unsur yang tidak baik seperti kelakuan melampau.

Proses tersebut sekali gus membenarkan lebih banyak perkongsian kandungan bersifat kesedaran awam di platform terbabit.

Kesedaran awam yang banyak ditonton dengan tanda pagar KamiSempoi (#KamiSempoi), menjadi ‘trending‘ dengan jumlah tontonan 3.8 bilion, perkara itu membuktikan kandungan berkenaan diterima umum.

Pengasas KamiSempoi International Agency (KSIA), To Chin Swee amat berbangga dengan rekod pencapaian platform media sosial terbesar dalam sejarah di Malaysia yang membawa episod perubahan lebih baik sepanjang 2022.

Chin Swee atau lebih mesra dikenali sebagai Pakchik Chin Swee berkata, sebelum #KamiSempoi wujud di hantaran profil pengguna Tiktok Malaysia, kandungan tarian dan wanita seksi mendominasi suapan berulang.

“Sekarang di Malaysia, (TikTok) dah berubah. Itu adalah pencapaian membanggakan oleh KamiSempoi.

“Kita tahu TikTok ada peraturan amat ketat, seksi sikit tak boleh, budak (kanak-kanak) ‘live‘ kena ‘banned‘ (sekat).

“Jadi, ini sebenarnya adalah platform yang sangat baik, macam mana ia membawa kita lebih maju.

“Sebab itu #KamiSempoi cepat meletup, apa yang Pakchik bawa, siapa yang ada dalam profil dia ada #KamiSempoi, ‘things goes viral‘. Sebenarnya bergantung bagaimana kita membawa ‘content‘ kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pembukaan Pejabat Urusan KamiSempoi cawangan kedua di pusat beli belah Quill City, di sini, selepas Ibu Pejabat di Melaka dan Sambutan Ulang Tahun KamiSempoi.

Turut hadir menyempurnakan Majlis Perasmian ialah Presiden Kelab Wanita Ikon Malaysia (KWIM), Datuk Normaziah Sheikh Mohamed.

Pada masa sama, beberapa pelakon tanah air seperti Riezman Khuzaimi, Zed Zaidi, dan Johan Ariff As’ari serta pempengaruh terkenal di bawah naungan KSIA termasuk Adelyn Heng Hui Rou juga hadir bersama.

Pakchik berkata, beliau mula dikenali selepas menggunakan #KamiSempoi dengan kandungan semata-mata untuk menggembirakan orang di platform itu, berikutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terdahulu yang menyebabkan ramai berdepan tekanan dan kemurungan.

Justeru, beliau mahu membimbing lebih ramai lagi pempengaruh di bawah KSIA dengan membantu memberi persepsi lebih tepat tentang fungsi sebenar TikTok seperti menyampaikan informasi semasa, jaringan perniagaan, hiburan positif, dan kesedaran awam.

Sementara itu, Normaziah berkata, seramai 10 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) terbaik yang berdepan masalah ekonomi tidak dapat membayar yuran pengajian, akan dijadikan sebagai pempengaruh KSIA menerusi UniGangSempoi.

“Kita bantu menjana pendapatan mereka melalui TikTok, kita bimbing mereka, untuk membolehkan mereka membayar yuran.

“Saya harap, UniGangSempoi ini juga akan dapat memberi kesedaran kepada masyarakat melalui Tiktok bahawa Tiktok atau media sosial bukan benda tak baik, tapi boleh mendatangkan kebaikan kalau buat dengan betul,” katanya.

Author

Pilihan Editor