HomeBeritaWarga emas hilang kawalan, rempuh pagar SMK Convent

Warga emas hilang kawalan, rempuh pagar SMK Convent

SUNGAI PETANI: Akibat hilang kawalan ketika memandu, seorang warga emas cedera teruk susulan merempuh pagar besi dan pondok pengawal keselamatan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent di Jalan Kolam Air, di sini, pagi tadi.

Mangsa, Mat Isa Ishak, 57, mengalami kecederaan tangan lantas dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk rawatan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, kejadian yang berlaku kira-kira pukul 10.50 pagi itu membabitkan mangsa memandu kereta jenis Toyota Corolla Altis dari Sungai Layar ke Pusat Kesihatan Daerah di sini untuk menjalani rawatan dialisis.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa hilang kawalan dan terbabas ke bahu jalan sebelah kiri sebelum melanggar pagar besi dan pondok pengawal keselamatan SMK Convent.

“Akibat kemalangan itu, kereta mangsa mengalami kerosakan di bahagian hadapan manakala mangsa luka pada tangan,” katanya seperti dilapor Kosmo hari ini.

Maklumnya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.

Author

Pilihan Editor