HomeBeritaAda perjanjian belum tentu tiada penipuan - MHO

Ada perjanjian belum tentu tiada penipuan – MHO

KUALA LUMPUR: Wujud perjanjian dan pulangan dividen membabitkan skim pelaburan belum tentu menjanjikan tidak berlaku sebarang unsur jenayah termasuk penipuan.

Setiausaha Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim kurang bersetuju dengan pandangan setengah pihak apabila mendakwa tidak berlaku jenayah bersandarkan wujud bukti perjanjian dan pulangan.

Hal ini kerana beliau khuatir, sindiket yang menjalankan kegiatan skim pelaburan ini akan terus menggunakan alasan asal ada perjanjian dan pulangan, menunjukkan skim itu sah.

“Ada pihak tertentu mengatakan kes ini (skim pelaburan) bukan kes jenayah kerana ada perjanjian, ada bayaran dividen.

“Soalan saya, kalau perkara ini diketahui sindiket penipuan yang tidak ada perjanjian skim pelaburan pula, semua akan ada perjanjian dan bayar dividen, kononnya tidak berlaku jenayah

“Ada perjanjian, dividen atau tidak, jika ada perilaku jenayah dan ada niat untuk melakukan jenayah, itu yang perlu disiasat, tak boleh tolak hanya alasan dua alasan ini semata-mata,” katanya kepada media.

Terdahulu, beliau ditemui selepas beberapa mangsa antara kira -kira 3,000 mangsa penipuan skim pelaburan Trust Fund, IRPS, Term Note dan Sukuk dengan nilai kerugian RM830 juta, membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, di sini.

Turut hadir, Penasihat MHO, Tan Sri Musa Hassan.

Difahamkan, penipuan pelaburan bermodelkan tabung amanah, Islamic Redeemable Share (IRPS), info memorandum dan sukuk yang ditawarkan dalang asing yang berpangkalan di Hong Kong menggunakan lima syarikat tempatan.

Syarikat tempatan terbabit, turut mempergunakan nama-nama bekas pegawai tinggi kerajaan bagi memperkuatkan lagi tipu daya mereka.

Hishamuddin turut menggesa pihak Jabatan Peguam Negara membuka dan menyiasat semula laporan polis membabitkan skim pelaburan yang diklasifikasikan sebagai No Further Action (NFA).

“Saya rasa perkara ini perlu disiasat kepada Jabatan Peguam Negara, walaupun pihak berkuasa NFA kes ini, tapi jabatan peguam boleh buka dan siasat semula,” katanya.

Author

Pilihan Editor