HomeSukanMula-mula dulu, tiada ‘player’ nak masuk JDT – TMJ

Mula-mula dulu, tiada ‘player’ nak masuk JDT – TMJ

 

CYBERJAYA: “Mula-mula dulu, tak ada orang (pemain) nak masuk JDT kerana tidak ada keyakinan.”

Itulah yang diungkap pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim ketika berkongsi mengenai pasukan Harimau Selatan menerusi segmen Bekpes Hot di radio Hot FM, hari ini.

Tunku Ismail berkata, terdapat pemain yang tidak yakin untuk menyertai pasukan JDT yang mula ditubuhkan pada 2013, selain risau akan berdepan beberapa masalah seperti tunggakan gaji pada ketika itu.

“..Sebab mereka takut ini adalah hobi sementara dan selepas itu tak bayar gaji atau ada masalah pada masa akan datang.

“Jadi, susah juga nak meyakinkan pemain-pemain untuk masuk JDT pada mulanya,” kata baginda yang mesra disapa Tunku Mahkota Johor (TMJ).

Menurut TMJ lagi, baginda tidak mempunyai pasukan pemantau dalam pemilihan pemain tempatan dan ia dilakukan sendiri olehnya dalam mengenal pasti pemain yang berkualiti.

“Untuk pemilihan pemain tempatan, saya tak pernah ada pasukan pemantau. Saya sendiri yang memilih. Jadi, daripada 2013 itu memang saya tidak kenal satu pun pemain dalam Malaysia.

“Tetapi, Alhamdulillah sejak 2014, saya lebih kenal pemain dan ikuti pemain,” maklum baginda.

Pada masa sama, Tunku Ismail turut mengakui baginda hanya mula berpuas hati dengan apa yang ditunjukkan pasukannya pada tahun 2020, tujuh tahun selepas projek itu dilancarkan pada tahun 2013.

“Saya rasa mulai 2020, barulah saya betul-betul berpuas hati dengan cara permainan dan terapkan falsafah kami. Untuk adakan satu falsafah itu, bukan buat falsafah sahaja.

“(Ia membabitkan) kualiti pemain yang boleh terapkan taktikal terbabit. Saya suka pasukan saya lebih padat, tidak suka ada kelompongan di bahagian tengah.

“Tidak berbelas kasihan ketika serangan balas pantas dan bertahan sebaga satu unit serta menguasai permainaan. Ini falsafah diterapkan di JDT,” ujar baginda.

Author

Pilihan Editor