HomeBeritaMahkamah & JenayahAnak sanggup pukul, pijak, sepak ibu sebab tak beri RM20

Anak sanggup pukul, pijak, sepak ibu sebab tak beri RM20

TANAH MERAH: Hanya kerana tidak diberi RM20, seorang anak dipercayai memukul, memijak, menampar dan menyepak ibunya di Kampung Gual Jedok di sini pada Ahad.
Dilaporkan, suspek meminta duit berkenaan untuk membeli dadah bagi melampiaskan ketagihannya itu.

Tindakan suspek menyebabkan ibunya yang berusia 65 tahun mengalami kecederaan bengkak di kepala, dahi dan mata serta sakit pada bahagian badan.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Mohd Haki Hasbullah berkata, hasil siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku di hadapan pintu rumah mereka.

“Ibu dan anaknya yang berusia 32 tahun itu dikatakan tinggal berdua di rumah tersebut.
“Semasa kejadian suspek telah bertindak menarik, menampar, menendang dan memijak kepala mangsa.

“Kejadian tersebut telah dirakam oleh cucu wanita terbabit yang tinggal bersebelahan dengan rumah berkenaan,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Menurut beliau, kejadian tersebut berpunca daripada keengganan warga emas itu memberikan wang kepada suspek sehingga dia sanggup bertindak luar kawalan.

Maklumnya lagi, sebelum ini suspek yang merupakan pemegang kad orang kurang upaya (OKU) mental daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sering mengamuk meminta wang dengan mangsa.

Katanya, lelaki terbabit yang merupakan bekas anggota tentera dan telah dibuang kerja pada tahun 2013 serta merupakan anak keempat daripada lima beradik.

“Ekoran daripada kejadian itu mangsa telah alami kecederaan dan mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Tanah Merah.

“Suspek telah berjaya ditangkap dan hasil soal siasat awal mendapati dia telah mengaku memukul ibunya kerana tidak memberikan wang yang diminta.

“Hasil ujian air kencing menunjukkan lelaki berkenaan positif methamphetamine dan mempunyai dua rekod lampau berkait dengan dadah,” katanya.

Mohd Haki menyatakan suspek ditahan untuk siasatan lanjut bawah Seksyen 323/18A Akta Keganasan Rumah Tangga.

Author

Pilihan Editor