HomePendidikanBeg sekolah berat: KPM akan ubah buku teks fizikal ke digital

Beg sekolah berat: KPM akan ubah buku teks fizikal ke digital

 

CYBERJAYA: Bagi menangani isu beg berat dalam kalangan murid, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)  masih meneruskan usaha menukarkan bahan sistem pendidikan termasuk buku teks fizikal kepada digital.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata, usaha itu agak terhad kerana perlu mengambil kira pemilikan peranti digital dalam kalangan murid dan ketersediaan capaian internet di sekolah-sekolah di seluruh negara.

“Kita memang ada dalam rancangan untuk mendigitalkan buku teks tetapi ini adalah terhad kepada mengenai pemilikan peranti digital dan ketersediaan capaian internet tapi kita memang ada dalam rancangan untuk mengurangkan buku teks dan akan menambah pembelajaran digital,” katanya pada sesi jawapan lisan, di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Wan Hassan Mohd Romli (PN-Dungun) yang meminta Menteri Pendidikan menyatakan keputusan mengenai penyelesaian masalah bagi meringankan beban beg berat dalam kalangan murid.

Tambah beliau, KPM turut mengadakan sebahagian bahan pembelajaran dalam bentuk digital yang mana sehingga kini, sebanyak 754 buku teks digital dimuat naik melalui pelantar Pembelajaran Pendidikan Digital Malaysia (DELIMa).

“Selain itu, pada tahun lalu kita membekalkan 3,800 projektor untuk digunakan di sekolah bagi membantu pembelajaran, fasa kedua tahun ini sebanyak 3,500 dan kita menyasarkan untuk menyediakan 3,800 projektor lagi tahun hadapan,

Pada masa sama, Hui Ying memaklumkan KPM turut bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi aspek penyelarasan uniform supaya kesemua murid diberi kelonggaran memakai uniform sekolah masing-masing ketika Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) bagi menangani isu beg berat.

Maklumnya lagi, KPM aktif melaksanakan penambahbaikan inisiatif bagi menangani isu beg berat secara holistik sejak tahun lalu membabitkan penyediaan lokar sekolah rendah kepada semua murid tahap satu iaitu tahun satu dan tahun dua di sekolah rendah yang beroperasi secara dua sesi.

Katanya, penyusunan semula jadual waktu turut dilaksanakan bagi membolehkan guru merancang pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara optimum dengan memperuntukkan masa bagi melaksanakan pendekatan modular dan bertema.

“Kita juga mengehadkan penggunaan bilangan buku latihan iaitu tidak melebihi dua buah buku bagi setiap mata pelajaran dan menggunakan buku aktiviti yang disediakan KPM manakala buku kerja hanya boleh digunakan sebagai bahan rujukan atau bahan ulang kaji di luar waktu PdP,” ujarnya.

Author

Pilihan Editor