HomeBeritaBubur lambuk Kampung Bharu ‘on’ seperti biasa

Bubur lambuk Kampung Bharu ‘on’ seperti biasa

 

CYBERJAYA: Salah satu makanan yang menjadi tumpuan pada bulan Ramadan adalah bubur lambuk.

Seperti diketahui, kebanyakan bubur lambuk ini boleh didapati secara percuma di sekitar masjid yang membuat edaran sebagai sedekah.

Salah satu bubur lambuk yang popular dan menjadi pilihan orang ramai adalah di Masjid Jamek Kampung Bharu, Kuala Lumpur yang diedar secara percuma sepanjang Ramadan.

Setiausaha Masjid Jamek Kampong Bharu, Mohamad Syamim Mohd Hussin berkata, sebanyak 15 periuk bubur lambuk akan dimasak dengan edaran hingga 3,000 bungkusan setiap hari bermula 1 Ramadan.

“Persiapan telah dijalankan sejak tiga minggu lalu termasuk mendapatkan penaja dan sebagainya. Alhamdulillah setakat ini, kita menerima tajaan bekalan gas, beras dan minyak masak.

“Bagi melancarkan program, kami membuat tempahan awal bahan basah seperti daging, bawang dan lain-lain kepada pembekal sama setiap tahun bagi memastikan tiada masalah bekalan sepanjang program berlangsung, ” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Tambah Mohamad Syamim, seramai 10 tukang masak dan 10 petugas pembungkusan akan terlibat dalam penyediaan bubur lambuk pada kali ini.

Pada masa sama, pihak masjid turut mengalu-alukan khidmat sukarelawan namun berharap mereka memaklumkan lebih awal bagi mengelak petugas terlalu ramai yang boleh menyebabkan kesesakan di bahagian dapur masjid.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan pihak masjid turut melaksanakan program Ihya Ramadan seperti tadarus, qiamullail dan tarawih seperti kebiasaan.

Malah, juadah percuma bagi buka puasa dan sahur kepada 200 orang disediakan secara percuma pada setiap hari sepanjang Ramadan.

“Fasa endemik kini sudah tiada sebarang halangan dan garis panduan juga sudah dilonggarkan. Tiada lagi had kapasiti jemaah, penjarakan sosial serta pemakaian pelitup muka, maka tiada alasan untuk tidak bertarawih beramai-ramai di masjid.

“Alhamdulillah, jemaah solat fardu juga semakin ramai, harap tarawih juga begitu, sekurang-kurangnya 1,000 jemaah setiap malam,” ujarnya.

Author

Pilihan Editor