HomeBeritaMalaysia sedia bekerjasama dengan Afghanistan - PM

Malaysia sedia bekerjasama dengan Afghanistan – PM

JEDDAH: Malaysia sedia bekerjasama bahkan meningkatkan hubungan dengan Afghanistan, negara di bawah pentadbiran Taliban yang disifatkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, awal bulan ini sebagai negara paling menindas dan merampas hak wanita dan kanak-kanak perempuan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendirian Malaysia itu telah disampaikan kepada Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang bersedia membantu dari segi perhubungan Malaysia dengan Kerajaan Afghanistan.

Beliau berkata, bagaimanapun Malaysia tegas dalam soal pendidikan wanita dan berpendirian bahawa hak golongan itu ke atas pendidikan tidak boleh dinafikan.

“Masalah sekarang ini ialah sikap mereka terhadap pendidikan wanita, sama ada dia nak buat universiti khusus wanita ataupun sekolah khas wanita, itu pilihan mereka, tetapi tidak boleh menafikan hak wanita dalam bidang pendidikan,” katanya dalam satu sidang media di sini pada Rabu.

Terdahulu, Anwar yang dalam rangka lawatan rasmi tiga hari ke Arab Saudi menerima kunjungan hormat Setiausaha Agung OIC Hissein Brahim Taha dan delegasi OIC, di Makkah selepas selesai beliau menunaikan ibadah umrah.

Anwar yang ditemani isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz, 6.40 pagi waktu tempatan.

Media antarabangsa antara lain sebelum ini melaporkan Kerajaan Afghanistan menghalang kanak-kanak perempuan daripada mendapat pendidikan melebihi gred enam dan wanita dari ruang awam seperti taman serta gim.

Bagaimanapun, Jumaat lepas, pemangku Menteri Luar Afghanistan, Amir Khan Muttaqi dilapor berkata bahawa pelajar perempuan akan kembali bersekolah sebaik sahaja isu dalaman di negara itu diselesaikan. – BERNAMA

Authors

Pilihan Editor