HomeNiagaGTR Burger RM55 kerana daging premium Wagyu

GTR Burger RM55 kerana daging premium Wagyu

PETALING JAYA: Peminat tegar burger boleh menikmati GTR Burger dari harga ‘Rahmah’ RM5 hingga harga kayangan RM55 bergantung kepada jenis daging yang digunakan.

Walaupun ada yang terkejut harga RM55 namun GTR Burger menjelaskan ia hidangan diperbuat daripada kepingan daging kisar premium yang terbaik dunia iaitu, Wagyu pada harga berpatutan.

GTR Burger Wagyu A5 Jepun adalah hidangan daging termahal paling istimewa disediakan dalam bentuk sandwic oleh GTR Burger, yang diasaskan oleh Nordin Mat dan Najib Jalil.

Nordin berkata, daging kisar burger di pasaran kebiasaannya adalah ayam, daging lembu dan kambing, seberat 50 hingga 70 gram.

“Di GTR Burger, kita ada harga rahmah iaitu patty (daging kisar biasa) burger serendah RM5, tetapi paling istimewa adalah 85 peratus daripada daging lembu termahal dunia, iaitu wagyu gred A5 Jepun, pada harga RM55.

“Itu sebabnya, ia paling mahal di GTR Burger, kita jual di seluruh gerai di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Memorandum Persefahaman Bersama (MOU) antara GTR Burger dan Marjerin Alif Sime Darby Oils (SDO) di Sime Darby Plantation pada Isnin.

Turut hadir, Ketua Jualan Pelanggan SDO, Mohammad Rahimi Abdullah.

Sementara itu, Najib berkata, GTR Burger membuka peluang kepada anak muda dan juga ibu tunggal untuk menyertai kursus pengurusan perniagaan, pemasaran jualan dan sistem pengurusan digital di Akademi GTR Burger di Sri Kembangan di Puchong, Selangor.

Katanya, akademi menyediakan tiga pakej perniagaan iaitu pertama sifar modal dengan tempoh 30 hari kursus, kedua ada modal (7 hari kursus) dan ketiga mereka yang berumur 16 hingga 25 tahun mengikuti kursus selama 12 bulan dan pengajian mendapat pensijilan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).

“Pakej dibuka serendah RM9,980, merangkumi patty burger, gerai, hanya beli tong gas sahaja dah boleh mula berniaga.

“Satu gerai boleh meraih keuntungan sehingga RM30,000 sebulan satu gerai,” katanya.

Katanya, GTR Burger dalam perancangan untuk meluaskan pasaran ke negara jiran, Indonesia dengan produk sistem pendigitalan perniagaan pada 2025 nanti.

Author

Pilihan Editor