HomeBeritaHilang tanpa jejak selama 6 hari, penuntut PhD ditemui maut

Hilang tanpa jejak selama 6 hari, penuntut PhD ditemui maut

CYBERJAYA: Misteri kehilangan seorang penuntut doktor falsafah (PhD) Universiti Putra Malaysia sejak 26 Februari lalu, akhirnya terjawab apabila ditemui maut akibat positif COVID-19 di sebuah hotel di Kuala Lumpur, semalam.

Mangsa, Jordan Anak Maria, 32, kali terakhir dijejaki adalah di Balai Trafik Polis, Ipoh, pada 26 Februari lalu sekitar pukul 5.57 petang kerana mahu membuat laporan polis kerana terlibat dalam kemalangan kecil.

Menurut adiknya, Patricia Pashella Lampon, 22, usai membuat laporan itu, mendiang bergerak ke Kuala Lumpur dan ada membuat laporan kehilangan dokumen di Balai Polis Brickfields, Kuala Lumpur pada keesokan harinya kira-kira pukul 3.46 pagi.

Jelasnya lagi, mendiang mulai hilang jejak dan tidak dapat dihubungi oleh ahli keluarga sehinggalah berita sedih tentang kematian mangsa akhirnya diterima semalam.

“Mendiang yang bekerja sebagai seorang guru tiba di Semenanjung sejak 21 Februari lalu bagi menyiapkan penulisan tesisnya dalam bidang Politik dan Kerajaan.

“Kali terakhir berhubung, dia ada beritahu yang dia terlibat dalam kemalangan kecil dan ingin membuat laporan polis di Balai Trafik Polis, Ipoh. Saya ada beritahu dia untuk hubungi saya semula selepas itu, tetapi tiada.

“Sejak 26 Februari itu, mendiang hilang tidak dapat dijejaki. Kami telefon rakan-rakannya pun, tetapi tiada seorang pun yang tahu. Kami ahli keluarganya sedia maklum mendiang dalam keadaan kurang sihat dan stress sebagai seorang pelajar. Tetapi tidak tanya lebih-lebih sebab ingin hormati privasi dia,” katanya seperti dilapor Kosmo.

Tambahnya, mendiang merupakan anak sulung daripada tiga beradik tidak menunjukkan sebarang gejala positif COVID-19 kerana mungkin mendiang sendiri tidak mengetahui dia menghidapi penyakit berkenaan.

Pemergian Jordan amat berat buat keluarganya kerana tidak menyangka akan kehilangan dia terlebih dahulu memandangkan mendiang merupakan seorang yang sangat aktif dalam menuntut ilmu.

“Mendiang jenis periang, adakalanya dia tegas khusus dalam pendidikan. Dia jenis bercita-cita tinggi dan suka buat kajian. Sejak dari zaman dia belajar, dia sangat aktif menyandang jawatan-jawatan tinggi.

“Dia juga peramah dan pandai membina ‘networking’ dengan orang ramai. Mendiang juga pernah menjadi Felo Perdana di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.

“Disebabkan oleh positif COVID-19, kami (ahli keluarga) tidak dapat melihat jasad mendiang sebab prosedur yang telah ditetapkan. Namun tetap berharap walaupun abu mendiang, dapat dibawa semula ke Miri, Sarawak,” ujarnya.

Author

Pilihan Editor