HomeGlobalRemaja tular di TikTok kini model Charles & Keith

Remaja tular di TikTok kini model Charles & Keith

SINGAPURA: Seorang remaja perempuan yang tular kerana menganggap beg Charles & Keith pemberian bapanya sebagai ‘mewah’ pada Januari lalu kini menjadi model untuk jenama berkenaan, lapor akhbar The Strait Times kelmarin.

Zoe Gabriel, 17, menyertai sekumpulan wanita daripada jenama Singapura itu dalam kempennya sempena Hari Wanita Antarabangsa yang akan berlangsung esok.

Dalam satu hantaran di Instagram pada Sabtu lalu, Zoe menulis: “Wanita ibarat bunga: Masa dan keperluan kita bukan sentiasa sealiran tetapi tak mengapa. Kita umpama padang bunga popi dan tasik teratai yang sememangnya berbeza, namun cantik dalam cara kita tersendiri.”

Zoe berkongsi fotonya memperagakan sebuah beg Alia berwarna ungu berharga AS$75.90 (RM339) iaitu keluaran edisi khas salah satu item terlaris jenama itu.

Charles & Keith yang mempunyai 600 cawangan di seluruh dunia akan menderma 20 peratus hasil jualan beg itu kepada program Bercerita Untuk Kesaksamaan Gender oleh Entiti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Kesaksamaan Gender dan Pemerkasaan Wanita yang juga dikenali sebagai Wanita PBB.

Model lain yang menyertai kempen itu termasuk kakitangan jenama itu sendiri iaitu pembantu pentadbiran, eksekutif pemasaran dan pengurus produk.

Zoe yang berpindah bersama keluarganya dari Filipina ke Singapura pada 2010 tular melalui videonya di TikTok. Dia yang berterima kasih kepada bapanya kerana menghadiahkannya beg ‘mewah’ pertama dilihat teruja ketika membuka kotak beg hitam berharga AS$79.90 (RM357).

Sebilangan netizen mengejek Zoe kerana menganggap Charles & Keith sebagai jenama mewah, tetapi dia kemudian memuat naik video susulan untuk menjelaskan latar belakangnya yang serba sederhana.

Anak sulung daripada empat adik-beradik itu kemudian dijemput untuk melawat ibu pejabat Charles & Keith dan makan tengah hari bersama pengasasnya.

Author

Pilihan Editor