KUALA LUMPUR: Watak adiwira, The Hulk; The Mask; atau Mak Kau Hijau, frasa popular dalam hiburan komedi, sudah biasa kedengaran.
Bagaimanapun, kini tular di TikTok, seorang lelaki berwarna hijau keluar dari bilik air di sebuah rumah.
Rupa-rupanya, lelaki itu terkena ‘prank’ oleh wanita dipercayai ibunya, yang meletakkan pewarna hijau ke dalam tiub saluran hos pancuran sebelum digunakan untuk mandian.
Dalam rakaman video dari akaun Tiktok Anak Bu RT, berdurasi 34 saat itu, anak muda berkenaan dilihat keluar dari bilik air, dengan muka dan sebahagian badannya berwarna hijau, dan tidak mampu berkata apa-apa kerana ‘benda yang lepas jangan dikenang’.
Ibunya pula hanya ketawa berdekah-dekah, seakan berpuas hati mengenakan anaknya yang juga sama pe’elnya, suka bergurau dan saling mengenakan.
Tiada apa lagi yang mampu dibuat oleh pemuda hijau itu, melainkan reda sahaja dengan gelagat ibunya.
Video berkenaan yang dimuatnaik empat hari lalu, sudah diulang tayang sehingga 4.4 juta, dengan hampir 500,000 tanda suka.