KUALA LUMPUR: Semua institusi pendidikan Majlis Amanah Rakyat (MARA) perlu mengkaji semula silibus pembelajarannya bagi memastikan ia selari dengan peredaran semasa.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau juga ingin melihat semua program pengajian dinilai dan ditambah baik bagi memastikan ia berada di landasan yang betul.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, antara langkah yang boleh dilakukan termasuklah mengadakan kolaborasi bersama badan pentauliahan profesional serta syarikat-syarikat multinasional dalam dan luar negara.
“Kita percaya bahawa keupayaan untuk melakukan transformasi dan pembaharuan dalam sistem pendidikan, merupakan prasyarat utama kepada kejayaan kita memajukan negara dan pada masa sama membina peradaban negara bangsa.
“Justeru, saya memberi jaminan akan menyokong sepenuhnya segala bentuk penambahbaikan atau pun pembaharuan demi kelangsungan anak bangsa kita yang seterusnya akan memacu arus kemajuan negara kelak,” katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian ketika merasmikan pembukaan sidang pertama Majlis Konvokesyen Perdana Institusi Pendidikan MARA 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini hari ini.
Institusi pendidikan MARA terdiri daripada Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM), Kolej Profesional Mara (KPM), Mara-Japan Industrial Institute (MJII) dan Institut Kemahiran Mara (IKM).
Dalam pada itu Ahmad Zahid berkata, terdapat keperluan untuk MARA memperkasa program pembudayaan dan pembangunan usahawannya bagi mengubah landskap sosioekonomi serta pemikiran masyarakat di negara ini.
Beliau berkata, MARA perlu menjadi pemandu kepada ekosistem keusahawanan dan melipatgandakan usaha melahirkan usahawan dalam kalangan pelajar.
Katanya, tumpuan harus diberikan kepada usaha pembangunan usahawan, penciptaan peluang pekerjaan dan peluang perniagaan yang seterusnya akan mencipta kekayaan untuk rakyat dan negara.
“Daripada hanya bercita-cita menjadi pekerja, kita mahu masyarakat beralih kepada pencipta peluang pekerjaan pula,” katanya. – BERNAMA