HomeBeritaMahkamah & JenayahIsu dera di madrasah: Kenyataan polis bercanggah dengan laporan perubatan - Peguam

Isu dera di madrasah: Kenyataan polis bercanggah dengan laporan perubatan – Peguam

SHAH ALAM: Laporan perubatan bekas pelatih sebuah madrasah di Shah Alam menunjukkan wujud kecederaan dan trauma dipercayai didera.

Dokumen itu dikeluarkan seorang doktor dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang pada 11 November tahun lalu.

Ia berbeza dengan kenyataan media Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim pada 26 September tahun lalu di mana beliau menafikan dakwaan penderaan terhadap seorang pelatih di Pertubuhan Kebajikan Darussolihin di Shah Alam, Selangor.

Mohd Iqbal menerusi kenyataan medianya berkata, siasatan telah dilakukan terhadap pelatih berkenaan di Hospital Shah Alam, Selangor namun tiada kecederaan ditemui pada mangsa.

Susulan daripada siasatan itu, pengadu iaitu ibu kepada bekas pelatih madrasah berkenaan telah dituduh di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun peguam Muhammad Izzat Irfan Taib dari Tetuan Hanif & Co, yang mewakili pengadu, Zuraina Zamri berkata, bekas pelatih berkenaan tidak pernah dibawa ke Hospital Shah Alam sebagaimana kenyataan polis pada September lalu.

“Sebaliknya bekas pelatih dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang dan laporan perubatan keluar pada November lalu.

“Laporan perubatan berkenaan mengesahkan wujud kecederaan dan kesan trauma yang konsisten dengan laporan polis asal anak guam saya,” katanya kepada media.

Turut hadir, Pegawai Khas Komunikasi Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Gulab Jan Fazal Eladi.

Terdahulu, keputusan representasi gugur atau tidak, pertuduhan terhadap Zuraina yang didakwa membuat laporan palsu bahawa anaknya dikurung secara salah dan didera oleh pihak madrasah sepatutnya diketahui hari ini.

Prosiding pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Elyza Amira Habeeb Rahman.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwaraya (DPP) telah memohon kepada pihak Majistret untuk merakam percakapan doktor perubatan terlebih dahulu sebelum memutuskan ia gugur atau tidak.

Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali hari ini telah membenarkan permohonan DPP dengan menetapkan prosiding ditangguh ke 13 April depan.

 

Author

Pilihan Editor