HomeBeritaKajian impak Payung Rahmah enam bulan bakal dibentang

Kajian impak Payung Rahmah enam bulan bakal dibentang

GOMBAK: Kerajaan dijangka membentangkan enam bulan kajian impak insiatif Payung Rahmah, bagi meneliti peranan pemain industri yang terlibat secara serius, meneruskan kelangsungan usaha itu dalam membantu ekonomi negara, menerusi bajet akan datang.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, kajian berkenaan dikendalikan di bawah kementeriannya, selama enam bulan.

Katanya, pengisian kajian itu merangkumi industri besar seperti peruncitan, makanan dan minuman (F&B), tekstil, insurans, dan institusi perbankan.

“Inisiatif Payung Rahmah sudah memasuki bulan ketiga, saya telah beritahu kepada kementerian kita akan buat kajian impak, untuk melihat dari segi ‘sustainable‘ atau mapan.

“Kedua, KPDN (kementeriannya) akan lapor kajian inisiatif ini kepada kerajaan, Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan

“Kita.akan lihat apa kerajaan boleh bantu mereka (pemain industri),” katanya mengulas isu inisiatif berkenaan yang dikatakan tidak boleh berpanjangan.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Pelancaran Jualan Rahmah Bersama Sabella di Ibu Pejabat (HQ) Sabella Holdings Sdn Bhd (Sabella) Batu Caves, di sini.

Turut hadir, Pengarah Penguatkuasa Pencegahan KPDN, Azman Adam dan Ketua Pegawai Eksekutif Sabella, Mohd Sufian Sulaiman.

Pada majlis itu, Sabella mengumumkan pengeluaran sebanyak 700,000 pakaian yang dijual pada harga Rahmah bermula serendah RM8 di enam lokasi terpilih seluruh negara, bermula 23 Mac hingga 20 April depan.

Sementara itu, Salahuddin turut menambah, dalam bajet tahun hadapan, KPDN juga akan melihat tawaran sama ada bentuk insentif atau pengecualian cukai kepada pemain industri yang terlibat serius dalam inisiatif Payung Rahmah.

Beliau bagaimanapun menafikan, sebarang bentuk syarat dikenakan oleh pemain industri dalam melaksanakan inisiatif itu.

“Bila adakan libat urus, industri tidak pernah mengenakan syarat, mereka tak ‘demand’ apa-apa.

“Mereka mahukan inisiatif ini, kerana ada syarikat terlibat CSR (tanggungjawab sosial dan korporat), ada yang sebahagian keuntungan mereka pulang balik kepada rakyat.

“Dalam tiga bulan ini, ada pemain industri yang meminta tolong, kita permudahkan contohnya dibekalkan pekerja asing, kita berjumpa dengan KDN (Kementerian Dalam Negeri) untuk permudah permohonan mereka. Ada yang kita bantu dari segi nasihat.

“Jadi, tidak timbul langsung dalam kalangan pemain industri demand kepada kerajaan,” katanya.

Author

Pilihan Editor