HomeBeritaKanak-kanak dapat hadiah jika ‘complete’ 20 rakaat Tarawih di Masjid Kapitan Keling

Kanak-kanak dapat hadiah jika ‘complete’ 20 rakaat Tarawih di Masjid Kapitan Keling

 

CYBERJAYA: Bagi menarik minat anak-anak kecil mengimarahkan masjid, pengurusan Masjid Kapitan Keling di Georgetown, Pulau Pinang, menawarkan hadiah menarik kepada mereka yang hadir menunaikan solat Tarawih.

Setiausaha Masjid Kapitan Keling, Mohamed Rizdwan Abdul Ghafoor Khan berkata, idea itu datang secara spontan ketika beliau dan seorang rakannya melihat kanak-kanak bermain selepas menunaikan solat Tarawih di pekarangan masjid pada 1 Ramadan lalu.

“Ketika itu, saya lihat ramai kanak-kanak datang ke masjid ini dan saya terfikir bagaimana untuk menarik minat mereka terus kekal bersolat di masjid sehingga 30 Ramadan.

“Pada hari pertama Ramadan saya beri mereka aiskrim sebagai galakan untuk terus datang ke masjid dan mereka gembira dengan pemberian ini.

“Idea datang secara spontan untuk terus memberikan hadiah kepada ka­nak-kanak yang datang­ menunaikan solat Tarawih di sini, mereka perlu lengkapkan 20 rakaat solat tarawih selama 10 hari dan akan diberikan hadiah,” katanya seperti dilapor Utusan.

Bagi menjayakan program terbabit, kanak-kanak yang turut serta akan dibekalkan kad khas sebagai pe­nanda kehadiran dan mereka perlu mendapatkan cap daripada pengerusi masjid setiap kali selesai menunaikan solat Tarawih.

“Pada hari pertama kami edarkan kad khas ini kepada 42 orang kanak-kanak dan sehingga hari ini mereka nampak­nya begitu bersemangat untuk melengkapkan solat Tarawih 20 rakaat.

“Sekiranya mereka berjaya melengkapkan solat Tarawih sepanjang 30 Ramadan ini, mereka akan memperoleh tiga hadiah oleh pengurusan masjid,” ujarnya.

Author

Pilihan Editor