HomeHiburanKepala Kamal Adli bocor diserang dengan chota

Kepala Kamal Adli bocor diserang dengan chota

 

CYBERJAYA: Pelakon, Kamal Adli dilaporkan cedera teruk di kepala akibat dipukul oleh seorang lelaki dengan menggunakan chota (kapak india) di Singapura, malam tadi.

Menurut isterinya yang juga pelakon, Uqasha Senrose, kejadian berlaku selepas kedua-dua mereka menghadiri acara Hari Raya Mega Sale 2023 yang berlangsung di Dewan 5A, Singapore Expo.

Maklum Uqasha, insiden itu berlaku semasa mereka berdua melayan permintaan seorang wanita berkerusi roda yang mahu merakamkan gambar kenangan sekitar pukul 9 hingga 10 malam.

“Saya dan Kamal bergambar dengan mak cik itu. Tiba-tiba, datang seorang lelaki dan bertanya, Kamal mana? Kami fikir dia peminat.

“Kamal kemudian tegur lelaki itu. Tiba-tiba lelaki itu keluarkan chota dari poket dan pukul belakang kepala Kamal berkali-kali.

“Darah Kamal berjurai di baju. Apabila Kamal angkat kepala, dia pukul tulang pipi. Lelaki itu kemudian pukul berkali-kali pada badan Kamal,” kata Uqasha seperti dilapor Berita Harian yang menghubunginya di Singapura.

Selepas kejadian, Uqasha memuat naik hantaran video pendek di Instagram rasminya dengan menyatakan keadaan semasa suaminya.

Katanya, Kamal terpaksa ditidurkan kerana perlu menjalani pembedahan susulan kepalanya cedera parah.

“Suami saya @kamaladli ditidurkan untuk major operation kerana koyak berlubang sangat dalam di kepala,” tulisnya ringkas menerusi Ig Stories.

Pada masa sama, Uqasha turut menulis nota memohon doa orang ramai buat suaminya.

Berdasarkan laporan Berita Harian Singapura, lelaki yang menyerang Kamal telah pun ditangkap polis selepas beberapa pengunjung dan pengendali gerai di Singapore Expo itu menahannya daripada melepaskan diri.

Author

Pilihan Editor