HomeBeritaKepala kanak-kanak tersepit di jeriji rumah sebab mainan

Kepala kanak-kanak tersepit di jeriji rumah sebab mainan

KUALA SELANGOR: Hanya kerana mahu mengambil mainan, seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun terpaksa menahan sakit selama hampir 25 minit kerana kepalanya tersepit pada jeriji besi rumahnya di Bandar Puncak Alam, hari ini.

Pengarah Bomba Selangor, Morni Mamat berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 1.20 petang dan ketika itu, mangsa di ruang tamu sedang bermain dengan permainannya namun mainan itu tercampak keluar ke kawasan jeriji tersebut.

Katanya, pihak anggota dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pukul 1.22 petang.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kepala kanak-kanak lelaki itu masih tersepit pada jeriji tersebut. Anggota bomba kemudian merenggangkan besi tersebut bagi menyelamatkan mangsa,” katanya seperti dilapor Kosmo pada Rabu.

Kecekapan pihak bomba membuatkan operasi berkenaan berjalan lancar dan tamat sepenuhnya pukul 2.30 petang.

“Kanak-kanak itu didapati tidak mengalami sebarang kecederaan serius sebelum diserahkan kepada ibunya bagi urusan lanjut,” maklumnya.

Author

Pilihan Editor