HomeBeritaPopulariti bukan jaminan dapat tauliah - Mufti Kelantan

Populariti bukan jaminan dapat tauliah – Mufti Kelantan

KOTA BHARU: Selepas Selangor mengingatkan supaya individu yang ingin berceramah negeri itu perlu mendapatkan tauliah, Kelantan juga mengambil pendekatan sama.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad memaklumkan penceramah perlu membuat permohonan untuk mendapatkan tauliah daripada pihak majlis agama negeri sebelum menggunakan masjid atau mengadakan ceramah agama bagi mengelakkan tindakan undang-undang.

Katanya, pihak pengurusan masjid perlu memastikan hanya penceramah memiliki tauliah dibenarkan menyampaikan ceramah seperti yang termaktub melalui Seksyen 91 Enakmen Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK).

“Setakat ini belum ada individu yang dikesan melakukan kesalahan berkenaan di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Buku Peringatan 150 Tahun Masjid Muhammadi di sini pada Rabu.

Mohamad Shukri juga menegaskan, populariti juga bukan jaminan penceramah dibenarkan menyampaikan ceramah di masjid.

Media sebelum ini melaporkan, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, sebarang ceramah oleh seseorang individu yang diadakan di Selangor tidak boleh bersandarkan kerana ‘public figure’ semata-mata, tetapi perlu mempunyai sijil tauliah penceramah yang diiktiraf pihak berkuasa agensi agama negeri.

Katanya, pihak masjid atau surau juga tidak boleh menjemput individu yang tidak memiliki tauliah mengajar yang diberikan di bawah Seksyen 118 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 Pindaan 2016.

Sebelum ini, pentadbir laman Facebook penceramah bebas, Mohamad Wadi Annuar Ayub dan Ustaz Azhar Idrus mengumumkan bahawa semua ceramah masing-masing di Selangor dibatalkan manakala di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya diteruskan.

Ia berikutan penceramah berkenaan tidak mempunyai tauliah mengajar tentang agama Islam di Selangor.

MEDIA VARIASI sebelum ini melaporkan, kategori tauliah punca lambakan pendakwah ‘cap ayam’, ustaz jadian dalam negara.

Ia susulan pendedahan secara bersiri seorang wanita, Norlina A mengenai bekas suaminya yang juga seorang pendakwah memiliki tauliah JAIS, meragui status sijil tauliah kerana mendakwa tiada kelayakan bidang agama, tidak pernah mengikuti pengajian bidang agama secara formal dan isu pematuhan syarat tauliah, baru-baru ini.

Untuk rekod, pendakwah berkenaan, Syed Abdul Rahman Syed Ali Alhadad, yang juga bapa kepada rapper tersohor negara, Altimet.

Turut dilaporkan, Peguam Syarie, Mohd Noor Aizan Md Idrus, menggesa pihak JAIS memperjelaskan kekeliruan dalam masyarakat yang beranggapan seseorang individu yang mempunyai tauliah, boleh meneruskan ceramah sedangkan tauliah yang ditetapkan pihak JAIS ada beberapa kategori bagi mengelakkan kekeliruan dan penyelewengan tauliah.

Author

Pilihan Editor