HomeNiagaMalakat tolak jenama semula, jalin kerjasama Muslim antarabangsa

Malakat tolak jenama semula, jalin kerjasama Muslim antarabangsa

CYBERJAYA: Malakat Mall yang pernah dilaporkan berhadapan isu kurang dapat sambutan gara-gara kelemahan pengurusan dan kempen Buy Muslim First (BMF) bagaimanapun menolak usaha penjenamaan semula.

Sebaliknya pusat beli belah yang diasaskan oleh Mohd Fadzil Hashim dengan pelaburan bersama Koperasi Pembangunan Pengguna Islam Malaysia (KoPPIM) pada 2020 itu mahu meneruskan usaha memperkasakan perniagaan kepada negara- negara asing.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, pihak pengurusan Malakat mahu mengekalkan nama dan konsep sama perniagaan namun ia dikembangkan kepada peringkat antarabangsa dengan keutamaan Muslim.

“Kita tak tukar nama atau konsep perniagaan tapi kita perkasakan lagi perniagaan kepada negara luar.

“Kita sedang merangka kerjasama pasaran terbuka dengan Iran, Indonesia, Pakistan, Pattani, Mindanao, Yaman, China Muslim dan lain-lain,” katanya kepada pemberita.

Amna Baloch bersama Nadzim mengadakan lawatan di Malakat Mall Cyberjaya. Turut hadir bersama beberapa delegasi Pakistan dan Malaysia.

Terdahulu, Toqqi itemui pada program kunjungan Pesuruhjaya dan Tinggi Pakistan ke Malaysia, Amna Baloch ke Malakat Mall, di sini.

Duta Pakistan, Amna Baloch

Program dianjurkan pihak PPIM turut dihadiri Pengasas Malakat Mall, Mohd Fadzil Hashim; beberapa usahawan tempatan dan penerbit filem, Erma Fatima.

Erma Fatima

Erma ketika diminta mengulas polemik yang berlaku di Malakat, berpendapat sikap rakyat yang tidak menyokong produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) punca kempen BMF tidak berjaya.

“PPIM dan Malakat telah melakukan kempen BMF dengan cemerlang memberi peluang untuk mengangkat produk usahawan IKS.

“It takes two to tango, kalau Malakat Mall dibuka satu KL pun tanpa sokongan rakyat ia takkan berhasil.

“Adakah rakyat tak sokong produk tempatan kerana tiada kelas? Atau tak peduli perjuangan kempen BMF? Tepuk dada tanya selera,” katanya.

Mengimbas kembali pada 13 Mac 2020 bermulanya mercu tanda Malakat Mall yang pertama dibuka di Cyberjaya, Malakat Mall yang bermatlamat menyatukan kuasa pengguna Islam Malaysia dalam membina teras kekuatan ekonomi.

Malakat Mall inspirasi dari perkataan Arab ‘Malakat’ yang membawa maksud perhimpunan segala dagangan.

Perkataan ‘Malakat’ itu juga dipilih untuk meniupkan semangat ‘Melaka’ sebagai pusat dagangan antarabangsa di zaman Kesultanan Melayu Melaka pada kurun ke-14.

Malakat Mall di Masjid Tanah akhirnya ditutup dan beberapa pihak sebelum ini mencadangkan agar nama Malakat ditukar kepada nama lebih komersial serta strategi pemasaran ditukar bagi menghidupkan kembali premis berkenaan.

Situasi sama pernah dialami restoran Bobby Western yang pernah dilapor akan ditutup, selepas nama perniagaan ditukar kepada Paku dan Pontianak, jualannya meningkat sehingga kini sudah memiliki francaisnya tersendiri.

Author

Pilihan Editor