HomeBeritaDua penternak rugi RM200,000, 50 ekor lembu mati diracun

Dua penternak rugi RM200,000, 50 ekor lembu mati diracun

ALOR GAJAH: Dua penternak berputih mata menanggung kerugian hampir RM200,000 kerana 50 ekor lembu milik mereka ditemui mati dipercayai diracun di Machap Umboo di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, haiwan itu sebelum kejadian dibiarkan berkeliaran mencari makan dalam ladang kelapa sawit berhampiran dan dipercayai telah menceroboh masuk kawasan kebun durian bersebelahan, memandangkan terdapat kesan pagar roboh akibat dirempuh.

Katanya, satu laporan polis berkaitan kes khianat dibuat oleh salah seorang penternak berusia 43 tahun itu.

“Mengikut laporan dibuat, pengadu menyedari kejadian itu selepas pekerjanya datang ke rumah memaklumkan dua ekor lembu ternakan keluarganya telah mati di kebun berhampiran.

“Pengadu dan adik lelakinya terus ke kebun tersebut dan mendapati 50 ekor lembu ternakan mereka mati di kawasan tanaman berkenaan.

“Kali terakhir pengadu melihat ternakannya adalah pukul 6.30 petang kelmarin dan haiwan itu tidak dimasukkan ke dalam kandang kerana bimbang hujan lebat,” katanya seperti dilapor Utusan hari ini.

Tambah beliau, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) turut mengambil sampel ujian dimana kesemua haiwan ternakan itu ditemui mati dengan keadaan mulut berbuih, organ keluar darah dan keadaan dalaman abnormal.

“Anggaran kerugian dialami penternak adalah RM200,000, setakat ini tiada tangkapan dibuat dan siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat,” ujarnya.

Author

Pilihan Editor