HomeBeritaMalaysia syurga 'scammer'? - MHO

Malaysia syurga ‘scammer’? – MHO

SENTUL: Jangan biarkan Malaysia sebagai lubuk, syurga atau sarang ‘scammer’ kerana penjenayah berkenaan bebas melakukan kegiatan tanpa rasa takut dikenakan tindakan.

Demikian kebimbangan yang diluahkan Penasihat Undang-undang Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Redza Khalid.

“Kami sebelum ini mendesak kerajaan mewujudkan Akta Anti Scam ekoran undang-undang sedia ada dilihat tidak berkesan bagi membanteras jenayah penipuan yang berleluasa.

“Seksyen 415 Kanun Keseksaan (KK) Seksyen 420 KK yang digunakan untuk jenayah penipuan tidak berkesan malah ‘scammer’ kini seakan tidak takut menipu dan berani untuk menipu mangsa.

“Kelemahan undang-undang untuk melindungi rakyat daripada sebarang penipuan pelaburan punca isu scammer sukar dikekang dan jumlah mangsa semakin bertambah setiap hari,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian selepas 100 mangsa penipuan membuat laporan polis berhubung pelaburan Trust Fund, IRPS, Term Note dan Sukuk dengan nilai kerugian RM830 juta.

Turut hadir, Penasihat MHO, Tan Sri Musa Hassan dan Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim.

Mangsa-mangsa terlibat dalam lima jenis pelaburan menerusi lima syarikat berhad berdaftar yang telah diperkenalkan oleh agensi pengurusan pemasaran yang dilantik sebuah syarikat di Hong Kong.

Syarikat di Hong Kong itu akan bertindak sebagai “fund manager” yang kemudian akan melabur ke dalam sebuah syarikat yang berdaftar di Australia dan tersenarai di dalam Australian Stock Exchange.

Manakala untuk pelaburan melalui
penerbitan Sukuk, sebuah syarikat yang berdaftar di Amerika Syarikat akan menerbitkan Sukuk dan sebuah syarikat yang berdaftar di Singapura akan bertindak sebagai “Manager”.

Keuntungan atau dividen yang ditawarkan juga adalah sangat menarik di antara 15 peratus setahun bagi pelaburan Sukuk dam pelaburan melalui tabung amanah.

Bagi pelaburan melalui short term note, keuntungan yang dijanjikan adalah sebanyak 20 peratus keuntungan sehingga ke 24 peratus setahun.

Namun sejak 2019 pelabur-pelabur tidak menerima sebarang keuntungan dijanjikan sebaliknya pejabat lima syarikat berkenaan telah ditutup.

 

 

Author

Pilihan Editor