HomeEkspresiRumah amal asnaf al-Barakh harap ada sinar bantu anak-anak yatim, asnaf

Rumah amal asnaf al-Barakh harap ada sinar bantu anak-anak yatim, asnaf

 

RUMAH amal asnaf al-Barakh yang dibangunkan oleh Pertubuhan Kebajikan Asnaf Al Barakh Malaysia di Taman Sepakat Jalan AU3 Keramat Kuala Lumpur, menempatkan hampir 40 anak-anak yatim dan asnaf berusia lingkungan enam ke 14 tahun.

Rumah amal berkenaan sudah mula beroperasi sejak 10 tahun lalu dan kini menempatkan anak-anak yatim dan asnaf yang datang dari pelbagai negeri seperti Terengganu, Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.

Pengurus Rumah Kebajikan Amal Asnaf Al-Barakh, Rohaya Jafri, 36, merupakan antara tulang belakang rumah amal itu dalam memastikan kebajikan anak-anak yatim dan asnaf dari aspek persekolahan,makan minum, solat dan tempat tidur terjaga rapi.

Menurutnya yang mula berkhidmat di rumah amal itu sejak 2015, anak-anak yatim dan asnaf di bawah jagaannya itu masih mendapat pendidikan dengan bersekolah di SK Taman Keramat AU1, SK Taman Keramat AU2 dan SK Taman Keramat pada sebelah pagi.

Manakala di sebelah petang pula, kesemua anak-anak itu akan bersekolah di sekolah agama berhampiran rumah kebajikan berkenaan.

Tambah Rohaya, dari aspek pengangkutan anak-anak yatim dan asnaf ke sekolah pula, mereka dibawa menaiki van yang turut disediakan oleh pihak Rumah Kebajikan Amal & Asnaf Al-Barakh.

Jelasnya, seramai lima orang pekerja wanita ditugaskan supaya menjaga keselamatan anak-anak tersebut pulang di rumah kebajikan dengan selamat.

Tambahnya lagi, kesemua anak-anak yatim dan asnaf yang bersekolah itu turut diberi wang perbelanjaan sebanyak RM5 sehari bagi memudahkan mereka membeli makanan di sekolah.

Katanya, perbelanjaan persekolahan anak-anak yang mencecah RM800 seminggu itu masih belum mencukupi kerana ada sebilangan daripada mereka yang belum mempunyai kelengkapan sekolah yang cukup.

Rohaya turut berkongsi tentang penyediaan makanan buat anak-anak tersebut yang memerlukan pihaknya menyediakan sekurang-kuranngya lima hingga 10 kilo beras sehari dan lima ke lapan ekor ayam bagi memastikan kesemua anak-anak itu mendapat sajian yang cukup hingga ke malam.

Jelasnya, rata-rata barangan basah seperti ayam, ikan dan daging dibeli oleh pihak rumah kebajikan Al-Barakh manakala barangan kering pula mendapat sumbangan daripada pelbagai pihak yang prihatin akan nasib anak-anak berkenaan.

Bagaimanapun, Rohaya amat berharap masih ada pihak yang sudi menghulurkan bantuan buat anak-anak yatim dan asnaf ini dari segi sumbangan seperti barang keperluan bayi, serta barang mandian seperti tuala, sabun, sikat, syampu, berus gigi dan ubat gigi.

Malah, sumbangan berbentuk wang juga amat dialu-alukan bagi memudakan pihak rumah kebajikan Al-Barakh menampung bayaran bil api, air dan sewa bulanan yang terkadang mencecah hampir RM32,000 sebulan.

Justeru, diharapkan lebih ramai pihak yang berhati mulia dapat memberi perhatian bagi kebajikan anak-anak yatim dan asnaf di Rumah Kebajikan Al-Barakh ini.

Bagi sebarang sumbangan atau maklumat lanjut, sila hubungi:
Telefon: 03-41429577 // 017-2474550
Alamat: Pertubuhan Kebajikan Asnaf Al Barakh Malaysia, No. 16, Jalan AU3/10, Taman Sepakat, 54200, Kuala Lumpur

Author

Pilihan Editor