HomeBeritaManfaatkan e-dompet RM20 di 38 Bazar Ramadan Rahmah

Manfaatkan e-dompet RM20 di 38 Bazar Ramadan Rahmah

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyediakan e-dompet bernilai RM20 di 38 Bazar Ramadan Rahmah (BRR).

Pemberian baucer tersebut wajar dimanfaatkan sepanjang Ramadan tahun ini menerusi operator atau penyedia platform e-dompet yang bekerjasama dengan kementerian.

Bagaimanapun, masih ada rungutan rakyat mengenai keberkesanan kaedah e-dompet yang dikatakan menyusahkan urusan pembayaran.

Menjelaskan perkara itu, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata, sukar untuk mengubah sesuatu yang bukan kebiasaan.

“Namun dalam dunia hari ini, digitalisasi adalah usaha kementerian membantu peniaga.

“Ini juga usaha kementerian mendidik pengguna dan peniaga untuk jangka masa panjang kerana kewangan digital tetap akan ambil alih sejajar perkembangan teknologi semasa, ” katanya pada sidang media.

Beliau berkata demikian pada sesi walkabout di BRR Lorong Tuanku Abdul Rahmah Kuala Lumpur.

38 lokasi sedang melaksanakan BRR di seluruh negara termasuk tiga lokasi BRR menawarkan menu Rahmah bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sepanjang Ramadan ini.

Tiga lokasi membabitkan 41 peniaga itu adalah di Lorong Tuanku Abdul Rahman, tempat letak kereta Lorong TAR Lot 4 dan di Jalan Raja (hadapan gereja).

Pada masa sama, KPDN memperluaskan program Pendigital Sektor Peruncitan dengan pemberian Insentif e-tunai kepada pengguna atau peniaga dalam bentuk e-dompet kepada 500 pengguna terawal.

Author

Pilihan Editor