HomeBeritaD'Tandoor, PRIHATIN rancang kafe Rahmah di 20 IPT

D’Tandoor, PRIHATIN rancang kafe Rahmah di 20 IPT

KUALA LUMPUR: Kumpulan Rangkaian Antarabangsa D’Tandoor bersama Yayasan Prihatin (PRIHATIN) merancang untuk menyediakan kafe Rahmah di 20 Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Malaysia.

Pengasas D’Tandoor, Datuk Abdul Malik Abdullah berkata, pihaknya akan menyediakan makanan di IPT dengan kos sangat rendah iaitu RM2 atau RM3 sehari sekali untuk golongan sasaran.

“Kami akan cari syarikat gergasi, yayasan atau koperasi untuk menampung kos tersebut.

“Daripada 20 IPT itu kami mungkin akan mulakan satu dahulu IPT untuk ‘pilot project’ bagi melihat impak dan penerimaan pelajar.

“Kita akan bekerjasama dengan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) untuk mengeluarkan kad khas untuk pelajar asnaf, B40 untuk menikmati kemudahan ini,” katanya pada sidang media pada Majlis Berbuka Puasa bersama PRIHATIN dan Gabungan Persatuan-Persatuan Perniagaan Malaysia (FMBA) di Restoran Roti By D’Tandoor di Jalan Ampang, di sini.

Turut hadir, Naib Pengerusi FMBA, Raymond Woo; Pengurus Besar D’Tandoor; Amir Malik; dan Ketua Pegawai Operasi GISB Holdings, Datuk Lokman Hakim Pfordten.

Abdul Malik berkata, perancangan itu dijangka akan dilaksanakan selepas Hari Raya dengan kerjasama kementerian berkaitan.

Pada tahun ini, D Tandoor bersama dengan Yayasan Kasih Kanser & Kronik akan mengedarkan bantuan makanan CSR dengan bantuan dari Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) kepada pesakit dan petugas kesihatan.

Sebanyak 10,000 pek makanan akan diedarkan kepada 40,000 isi rumah.

Author

Pilihan Editor