HomeBeritaMangsa dakwa pegawai bank punca terjebak scam pelaburan RM830 juta

Mangsa dakwa pegawai bank punca terjebak scam pelaburan RM830 juta

KUALA LUMPUR: Seorang daripada ratusan mangsa penipuan skim pelaburan Trust Fund, IRPS, Term Note dan Sukuk dengan nilai kerugian RM830 juta, hari ini mendedahkan pihak bank turut terlibat dalam kegiatan berkenaan.

Lelaki yang juga warga asing berusia lingkungan 50-an itu mendakwa, seorang rakan yang dikenalinya sebagai seorang pengurus bank di sebuah negeri, memperkenalkan kepada seorang ejen skim pelaburan berkaitan makanan laut.

“Saya sudah melabur hampir RM330,000 namun transaksi yang berlaku tidak rasmi kepada bank (the transaction does not make it official to the bank).

“Sepatutnya saya dijanjikan 10 peratus keuntungan tetapi tidak dapat, selepas dua tahun, mereka mula bermain tarik tali, dan barulah saya sedar ia adalah penipuan sehingga kini,” katanya kepada media.

Terdahulu, dia antara kira-kira 100 mangsa penipuan skim pelaburan berkenaan, membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, di sini.

Turut hadir, Penasihat MHO, Tan Sri Musa Hassan dan Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim.

Difahamkan, penipuan pelaburan bermodelkan tabung amanah, Islamic Redeemable Share (IRPS), info memorandum dan sukuk yang ditawarkan dalang asing yang berpangkalan di Hong Kong menggunakan lima syarikat tempatan.

Syarikat di Hong Kong itu akan
bertindak sebagai “fund manager” yang kemudian akan melabur ke dalam sebuah syarikat yang berdaftar di Australia dan tersenarai di dalam Australian Stock Exchange.

Manakala untuk pelaburan melalui
penerbitan Sukuk, sebuah syarikat yang berdaftar di Amerika Syarikat akan menerbitkan Sukuk dan sebuah syarikat yang berdaftar di Singapura akan bertindak sebagai “Manager”.

Sementara itu, Setiausaha MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, setakat ini, seramai 100 mangsa sudah meminta bantuan pihaknya bagi menyelesaikan masalah itu.

Menurutnya, dianggarkan lebih kurang 150 laporan dibuat berhubung pelaburan berkenaan dengan jumlah kerugian dianggarkan mencecah RM830 juta.

“Dua syarikat dari Hong Kong ini menggunakan syarikat Berhad di Malaysia. Umum tahu bila dengar Berhad ini seolah-olah tersenarai di Bursa Malaysia.

“Mereka menjanjikan pulangan 15 hingga 17 peratus bagi setiap pelaburan bagi menarik minat pelabur.

“Syarikat berhad ini menggunakan terminologi info memorandum dan menjual logo Suruhanjaya Sekuriti (SC) bagi meyakinkan mangsa,” katanya.

Hishamudin berkata, syarikat tempatan terbabit, turut mempergunakan nama-nama bekas pegawai tinggi kerajaan bagi memperkuatkan lagi tipu daya mereka.

Katanya, selain syarikat berhad sindiket terbabit turut menggunakan dua syarikat unit amanah berdaftar sebagai proksi bagi memindahkan wang mangsa ke luar negara.

“Saya tak kecam pelabur kerana mereka lihat syarikat ini adalah syarikat sah berdaftar malah ada juga yang tawarkan pelaburan hingga ke Australia.

“Saya tak salahkan mana-mana agensi penguatkuasaan. Tetapi saya mohon kepada semua termasuk kerajaan supaya mengambil tindakan untuk mendapatkan pembelaan kepada mangsa ini,” katanya.

Penasihat MHO, Redza Khalid, mendesak mendesak kerajaan mewujudkan Akta Anti Scam ekoran undang-undang sedia ada dilihat tidak berkesan bagi membanteras jenayah penipuan yang berleluasa.

“Seksyen 415 Kanun Keseksaan (KK) Seksyen 420 KK yang digunakan untuk jenayah penipuan tidak berkesan malah ‘scammer’ kini seakan tidak takut menipu dan berani untuk menipu mangsa.

“Kelemahan undang-undang untuk melindungi rakyat daripada sebarang penipuan pelaburan punca isu scammer sukar dikekang dan jumlah mangsa semakin bertambah setiap hari,” katanya kepada media.

MEDIA VARIASI pada 23 Ogos 2022, melaporkan Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE), J Solomon berkata, tidak dapat memberikan penjelasan berhubung modus operandi scammer berkaitan bank.

“Saya dimaklum bank tidak mahu memberi maklumat diminta oleh pegawai siasatan atas alasan ia melanggar Akta Perlindungan Data Peribadi,” katanya.

Malah ketika ditanya adakah wujud kartel bank, beliau tidak jelas dengan perkara itu.

Persoalannya, adakah pihak bank juga tidak tahu transaksi daripada pelaku yang terlibat dalam kes penipuan online atau mengambil sikap tutup sebelah mata demi untuk mengaut keuntungan semata-mata kerana seolah kesalahan diletakkan kepada mangsa yang juga pemegang akaun.

Bagaimana pula kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) boleh diketahui siapa penerima dan pelaku transaksi tetapi sejumlah kes mangsa ini pihak tidak pula mendedahkan siapa pelakunya?

Di mana keadilan untuk puluhan ribu mangsa ini jika tidak disiasat di peringkat transaksi online oleh pihak bank?

Author

Pilihan Editor