HomeHiburanEmma larang suami jawab komen negatif netizen

Emma larang suami jawab komen negatif netizen

KLANG: Pelakon jelita yang sedang sarat hamil, Emma Maembong pernah berpesan kepada suami supaya tidak membalas komen negatif netizen berkaitan dirinya kerana tidak mahu memanjangkan isu.

Emma atau nama sebenarnya Fatima Rohani Ismail berkata, dia lebih memilih untuk tidak melayani karenah netizen yang mengkritik berlebihan di laman media sosial sehingga boleh menjejaskan kehidupan peribadi.

“Suami kan, ada hati tisu sikit, mestilah dia berfikir terbaik untuk isteri, kadang dia dah taip panjang, saya cakap jangan ‘post’.

“Dia nak komen panjang, saya cakap tak payah balas B (panggilan manja Emma kepada suami), nanti ‘you’ balas, berpanjangan isu Emma dengan netizen,” katanya kepada media.

Terdahulu, berlangsung Majlis Pelancaran Edisi Raya Kekasih Lebaran 2023 The Melvins, bersama peminat setianya, yang turut dihadiri artis seperti Nadiyah Shahab, Nadiya Nisaa dan pempengaruh Tiktok, di Glass House, di sini.

Kekasih by The Melvins diasaskan oleh pelakon, Siti Nur Syatilla, 32; bersama adik beradiknya, iaitu Siti Nur Syafiqa, 33; Siti Nur Syifa Athirah, 29; dan Siti Nur Syida, 26, pada 2019 dengan tagline hangat dan riuh, ‘Satu KEKASIH cukup ke?’.

Sementara itu, meskipun sebagai seorang artis dalam industri kreatif negara, Emma mengakui dirinya tetap tidak lari daripada komen negatif, tetapi lebih bersifat keras hati dengan tidak mengendahkannya.

Pelakon Kau Yang Terindah itu berkata, sejak terlibat dalam bidang seni lagi, malah sejak remaja ada saja kritikan sama ada membina atau negatif yang diterima.

“Bagi Emma, dari zaman remaja lagi, ada saja yang tak kena di mata orang. Kita pakai sopan kena kecam, tak pakai sopan pun kena kecam.

“Jadi, doakan baik-baik sahaja lah, tak guna Emma lawan balik, bukan Emma seorang yang kena, semua orang pun kena kecam benda sama,” katanya.

Justeru, Emma hanya meneruskan kehidupan normal berkeluarga, namun masih aktif dalam bidang seni.

“Mana yang komen jahat-jahat, saya buat tidak tahu saja.

“Siapa yang layan (komen) baik-baik, tegur baik-baik, memang saya ambil (terima).

“Jadi, saya nak ‘go through life’ saja sekarang, nak puaskan hati semua orang tak boleh. Kalau satu hari nanti nak berubah, Emma berubah lah,” katanya.

Emma berkahwin dengan juruterbang Muhammad Shazli Azhar pada 20 Februari 2020 dan mereka dikurniakan anak lelaki, Shariq Gabriel, 3.

Author

Pilihan Editor