HomeBeritaPenerima STR diminta kemas kini data peribadi sebelum 31 Mac

Penerima STR diminta kemas kini data peribadi sebelum 31 Mac

CYBERJAYA: Semua penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) diminta mengemas kini maklumat peribadi mereka bagi melancarkan pembayaran fasa kedua sebelum Hari Raya Aidilfitri.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, perkara itu penting dilakukan berikutan data-data yang dikumpulkan sebelum ini sudah lama dan terdapat penerima sudah bertukar status.

Katanya, penerima-penerima STR boleh membuat permohonan dan mengemas kini maklumat masing-masing bermula 1 Mac lalu sehingga 31 Mac depan.

“Pembayaran STR dilaksanakan sebanyak empat kali iaitu fasa pertama bermula 17 Januari, fasa kedua sebelum Hari Raya Aidilfitri, fasa ketiga pada Julai manakala fasa keempat pada November depan,” katanya seperti dilapor Kosmo pada Rabu.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Kelantan, hari ini.

Maklumnya, jumlah pemohon STR di Kelantan secara manual dan dalam talian kini adalah seramai 806,024 orang dan 587,160 orang dari jumlah berkenaan sudah diluluskan dengan bayaran keseluruhan RM519,638,850.

“STR kali ini melibatkan peruntukan terbesar yang pernah diberikan iaitu RM8 bilion kepada sembilan juta rakyat.

“Ia akan memberi manfaat kepada golongan B40 di bawah LHDN selaku agensi pelaksana,” katanya.

Author

Pilihan Editor