HomeHiburanPenganjur ‘Singapore Expo’ tanggung kos perubatan Kamal Adli

Penganjur ‘Singapore Expo’ tanggung kos perubatan Kamal Adli

CYBERJAYA: Meskipun masih trauma dengan nasib yang menimpa, pelakon, Uqasha Senrose sekurang-kurangnya mampu menarik nafas lega selepas kos perubatan suaminya yang juga pelakon, Kamal Adli yang mengalami kecederaan serius di bahagian kepala ditanggung sepenuhnya oleh pihak penganjur ekspo di Singapura.

Perkara itu disahkan oleh pengacara dan usahawan selebriti, Roslan Shah menerusi sesi live di TikTok bersama Presiden Persatuan Seniman Malasyia (Seniman), Zed Zaidi, awal pagi tadi.

“Alhamdulillah, pihak penganjur ambil berat mengenai insiden ini dan menanggung kos perubatan Kamal di hospital. Saya juga bertanggungjawab dalam hal ini sebab membawa rakan-rakan artis berniaga di sini.

“Ada lebih 10 artis dari Malaysia yang turut terlibat dalam ekspo ini seperti Azza Elite, Abby Abadi, Fauziah Latiff, Tya Arifin dan ramai lagi,” katanya seperti dilapor Utusan hari ini.

Mengulas detik insiden berlaku, Roslan memaklumkan ketika itu dia berada di luar dewan sebelum terkejut apabila mendapati Kamal berlumuran darah.

“Waktu petang hingga malam memang ekspo dikunjungi ramai orang. Selepas pukul 9 malam dan acara pun sampai ke penghujung, tiba-tiba datang seorang lelaki yang bertanya di mana Kamal.

“Lelaki yang disangka ingin bergambar rupa-rupanya terus mengeluarkan cota besi dan melibas di bahagian belakang kepala Kamal sehingga berlumuran darah,” katanya.

Terdahulu, seorang lelaki menyerang Kamal menggunakan chota hingga mengakibatkan bahagian kepalanya cedera parah.

Bagaimanapun Polis Singapura (SPF) menyatakan, suspek berkenaan akan berdepan pertuduhan di mahkamah hari ini kerana “disyaki terbabit dalam kes menyebabkan kecederaan dengan sengaja menggunakan senjata berbahaya.”

“Jika sabit kesalahan, kesalahan menyebabkan kecederaan dengan sengaja menggunakan senjata berbahaya di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun, denda, rotan, atau mana-mana kombinasi hukuman itu,” kata SPF dalam satu kenyataan malam tadi.

Author

Pilihan Editor