HomeBeritaSabah mohon peruntukan tangani isu air 20 tahun

Sabah mohon peruntukan tangani isu air 20 tahun

SHAH ALAM: Kerajaan negeri Sabah akan memohon peruntukan lebih besar membabitkan pembinaan empangan baharu, yang boleh menampung keperluan bekalan air di seluruh negeri itu, dalam tempoh 20 tahun akan datang.

Setiausaha Pakatan Harapan (PH) Sabah, Mustapha Sakmud berkata, pihaknya mahu isu bekalan air di Sabah diselesaikan segera biarpun memahami kekangan di peringkat tertinggi sejak menjadi sebahagian Kerajaan Perpaduan.

Katanya, beliau sudah mengadakan rundingan dengan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) supaya mempercepatkan projek Empangan Telibong 2, Tuaran berikutan empangan sedia ada tidak mampu menampung keperluan bekalan air negeri melebihi maksima.

“Isu air bukan hanya berlaku di Sepanggar, tetapi di seluruh Sabah. Kita tidak cukup sumber (air) daripada loji sedia ada.

“Seperti di Empangan Telibong 1, Tuaran dan Moyog di Penampang, kedua-dua ini beroperasi melebihi had kemampuan.

“Untuk tampung bekalan air tersedia, 20 tahun akan datang, kita juga perlukan sebuah empangan baharu, jadi kita akan meminta peruntukan lebih besar untuk tujuan itu dan saya fikir sedang dirancang kerajaan negeri,” katanya mengulas isu bekalan air di negeri itu.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia berkata demikian pada Majlis Iftar Ramadan Persatuan Pusat Bertauliah Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) dgn kerjasama Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) Putrajaya, di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), di sini.

Yang turut hadir, Presiden Persatuan PB SLDN, Datuk Joyah Abd Rashid.

Ahli Parlimen Sepanggar itu turut menggesa kerajaan negeri supaya melaksanakan mekanisme catuan air berjadual supaya tidak berlaku kejadian ‘hit and run’.

“Jangan tunggu tangki air kosong, baru nak salur air. Ada yang mengadu, tak ada air, tiba-tiba ada air pula. Jadi, perlu ada sistem ‘monitoring’ level tangki pada tahap tertentu jika berada paras terendah, yang memerlukan untuk diisi dengan segera,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi MPN PKR Sabah itu mengakui tidak dapat melihat kekangan dihadapi kerajaan negeri dan JANS untuk membantu rakyat sebaik mungkin.

“Sebagai jemaah menteri, pimpinan negara, saya sudah nampak (isu sebenar), dulu masa (jadi) pembangkang, kita tak nampak apa yang berlaku, tapi bila dah jadi kerajaan, kita nampak kekangan dihadapi kerajaan negeri.

“Saya cuma mahu isu air di Sabah diselesai, dan kita bergerak ke depan dalam usaha ini,” katanya.

Author

Pilihan Editor