BARU-baru ini tular rakaman video seorang lelaki Jepun dengan ‘steady’ mendaki Gunung Kinabalu dengan segak memakai sut lengkap.
Difahamkan, lelaki yang dikenali sebagai Nobutaka Sada berpakaian sedemikian adalah untuk tujuan pemasaran dan pengiklanan.
Untuk pengetahuan, Nobutaka Sada merupakan seorang tukang jahit yang membuat sut perniagaan.
Malah, lelaki yang meraih perhatian warga net ini juga mempunyai jenama sut tersendiri dikenali ‘SADA’.
Menariknya, Sada seringkali membuat video pemasaran jenama SADA dengan gaya tersendiri seperti merakam video dalam keadaan luar biasa dan lokasi yang tidak dijangka.
Meskipun kelihatan seperti ‘tidak masuk akal’ mendaki gunung dengan berpakaian sedemikian, namun semua itu tidak menjadi halangan buat Sada kerana dia akhirnya berjaya menawan puncak Gunung Kinabalu dengan memakai sut jenama SADA itu.
“Mendaki Gunung Kinabalu, puncak tertinggi Malaysia di Borneo dengan memakai SADA sut!”
“Gunung Kinabalu lebih tinggi daripada Gunung Fuji pada ketinggian 4095m! Di samping itu, saya dapat tinggal di pondok di tengah-tengah cahaya bintang, mendaki trek yang curam, dan menikmati sinaran cahaya di puncak gunung.
“Kami mendaki pada ketinggian 2,300m dalam kelembapan tropika, dan dihujani, tetapi sut SADA mengekalkan tahap yang baik untuk menghadiri mesyuarat perniagaan!
“SADA’s order suit is okay for climbing Mount Kinabalu!” tulisnya di Facebook.
Dalam pada itu, dia turut memaklumkan akan memuat naik video pendakiannya memakai sut SADA di Gunung Kinabalu menerusi saluran YouTube rasminya @ordersuitSADA.