KUALA LUMPUR: Topi keledar yang mengalami kerosakan lazimnya akan dibuang begitu sahaja kerana ramai yang tidak tahu ia boleh dibaik pulih dan ada bengkel khusus untuk tujuan itu.
Lantaran itu jugalah Mohd Azizul Adzmi, 37, membuka bengkel 7Stone Helmet yang terletak di Batu 7, Gombak, Selangor.
“Saya sering mendengar rakan-rakan mengeluh tidak ada tempat yang membaik pulih topi keledar mereka yang rosak. Dari situlah timbul idea untuk saya berkecimpung dalam bidang ini dengan membuka bengkel pada 2017,” katanya kepada Bernama.
Beliau yang mahu disapa Ejoy, mempunyai minat mendalam dalam bidang permotoran selain gemar mengumpul topi keledar vintaj, dan hingga kini memiliki lebih 30 topi keledar pelbagai jenama dengan yang termahal adalah Magnum LTD berwarna kuning bernilai RM13,000 kerana ia jarang ditemukan.
BIDANG JARANG DITEROKAI
“Sebenarnya masih ramai yang kurang maklum akan kewujudan servis baik pulih topi keledar ini dan tidak menghairankan kerana saya rasa terlalu kurang pakar baik pulih topi keledar di Malaysia. Ini menjadikan karier sebegini mempunyai potensi yang cukup besar untuk dikembangkan, khususnya dalam kalangan orang muda,” ujarnya.
Bagaimanapun kata beliau, untuk menjadi pakar baik pulih topi keledar memerlukan tumpuan dan kesabaran yang tinggi.
“Kesabaran amat diperlukan, khususnya ketika menjalankan baik pulih bahagian dalam topi keledar termasuk jahitan dan kemasan akhir. Ini kerana jika tersilap atau tersenget jahitan yang dilakukan, maka akan rosaklah hasil kerja kita,” jelasnya yang menjalankan bengkel itu bersama-sama dua rakan kongsi.
Mengambil masa lebih setahun untuk belajar sendiri cara-cara dan kaedah menjahit bahagian dalaman topi keledar menerusi pelbagai video di YouTube, Ejoy berkata pengalaman bekerja sebagai tukang jahit seluar jeans dan denim sebelum ini banyak membantunya.
“Saya pernah bekerja dengan seorang rakan di sebuah kedai menjahit seluar jeans di Cheras dan Keramat sekitar 2013 hingga 2015. Beliau sangat tekun mengajar saya pelbagai teknik jahitan menggunakan mesin jahit industri dengan satu jarum jahitan. Pengalaman inilah kekuatan saya untuk menjadi seorang pakar baik pulih topi keledar.
“Pada awalnya, saya hanya membaik pulih topi keledar biasa buatan tempatan dari era 80 dan 90-an seperti Apollo dan SGV. Kemudian barulah saya berani untuk beralih kepada topi keledar premium yang diimport seperti jenama Bell dari Amerika Syarikat,” tambahnya.
PELBAGAI SERVIS BAIK PULIH
Antara perkhidmatan yang ditawarkan di bengkel 7Stone Helmet ialah baik pulih tali pengikat dagu, gabus lapik, getah pelapik serta butang visor.
Harga perkhidmatan adalah berbeza mengikut bahagian yang perlu dibaiki. Sebagai contoh, bagi membaiki tali pengikat dagu, harganya yang dikenakan adalah sekitar RM30 hingga RM350 (bagi topi keledar import).
“Biasanya pelanggan akan minta baiki ‘padding’ topi keledar iaitu span dan kain di bahagian dalam dan harga servis baik pulih bergantung pada material gantian yang digunakan sama ada yang asli atau buatan tempatan.
“Contohnya, jika pelanggan hantar topi keledar asli jenama Bell yang mengalami kerosakan getah keliling, sudah tentu kita perlu pastikan barang gantian juga asli yang kita perlu tempah dari luar negara. Ini bagi memastikan pelanggan kita berpuas hati dengan hasil kerja yang dilakukan.
“Pelanggan kita bukan sahaja dari sekitar Lembah Klang, malah ada yang sangup menghantar topi keledar mereka secara pos untuk dibaik pulih,” katanya, menambah proses baik pulih sebuah topi keledar lazimnya memakan masa sekitar sebulan.
HASILKAN TOPI KELEDAR SENDIRI
Selain membaik pulih, bengkel itu juga menjual topi keledar buatan sendiri dengan pelanggan boleh menempah corak dan jenis topi keledar yang mereka inginkan.
Berkongsi lanjut mengenai proses pembuatan topi keledar 7Stone, rakan kongsi Ejoy, Ahmad Tanusi Tajuddin atau Pak Chu, 57, berkata, perkara pertama yang perlu dilakukan ialah menyiapkan cengkerang topi keledar menggunakan tiga lapis gentian kaca yang disusun di dalam acuan.
Proses ini katanya, perlu dilakukan secara berhati-hati agar tidak berlaku gelembung dan memburukkan rupa bentuk cengkerang.
“Ketebalan cengkerang yang kita buat tidak tebal dan tidak nipis sangat, ikut standard topi keledar yang lain. Dari segi kualiti memang tahan lasak. Setelah acuan cengkerang kering, kita akan buat pemeriksaan dan kemasan luaran bagi memastikan permukaannya licin dan rata.
“Seterusnya ialah proses menyembur cat yang akan dilakukan oleh seorang lagi rakan kami iaitu Ahmad Fadzil Ton. Warna dan corak yang akan disembur adalah pelbagai mengikut kreativiti kami atau cita rasa pelanggan.
“Kami juga ada buat topi keledar dengan kesan khas menggunakan gentian karbon dan resin yang coraknya akan kelihatan seolah-olah timbul seperti tiga dimensi,” katanya.
Proses terakhir pembuatan topi keledar akan dilakukan Ejoy dengan memastikan kemasan pelapik pada bahagian dalam topi keledar menepati kehendak pelanggan. Lebih-lebih lagi sekiranya bahan yang digunakan adalah tulen.
“Harga yang dikenakan bagi setiap projek bergantung pada bahan-bahan yang kita gunakan. Biasanya ia menelan kos sekitar RM800, namun sebuah topi keledar buatan sendiri boleh dijual sekitar RM1,500 kerana semua proses dilakukan dengan tangan.
“Topi keledar yang kita buat biasanya dengan reka bentuk klasik atau vintaj, dan memang dapat permintaan cukup tinggi daripada peminat jenis ini terutamanya geng-geng motosikal.
“Kami turut bercadang mendapatkan pengiktirafan kualiti daripada SIRIM Berhad dalam masa terdekat, agar topi keledar yang kami buat benar-benar dijamin selamat oleh pihak berwajib,” katanya, menambah mereka yang berminat untuk mendapatkan perkhidmatannya boleh melayari laman Facebook Ejoy Helmet. – BERNAMA