ALOR GAJAH: Dek kerana motosikal yang ditunggang terlanggar seekor monyet, seorang wanita warga emas maut manakala suaminya cedera di Jalan Lubok Cina pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, kejadian berlaku pukul 10 pagi lantas menyebabkan mangsa, Mesah Puteh, 50, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di zon kuning Hospital Alor Gajah.
Katanya, pasangan warga emas yang menunggang motosikal Yamaha Y100 itu dalam perjalanan pulang dari arah pekan Lubok China ke rumah mereka.
Maklumnya lagi, setiba di lokasi motosikal mereka telah melanggar seekor monyet lalu terbabas ke kiri jalan.
“Kedua-dua mangsa mengalami kecederaan dan dikejarkan ke Hospital Alor Gajah untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Namun mangsa wanita dimaklumkan telah meninggal dunia pada jam 1.69 petang pada hari sama,” katanya seperti dilapor Sinar Harian pada Isnin.
Menurut Arshad, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) APJ 1987.