HomeBeritaTauliah Mengajar elak ajaran salah, fitnah, bersangka buruk - Sultan Selangor

Tauliah Mengajar elak ajaran salah, fitnah, bersangka buruk – Sultan Selangor

KUALA LUMPUR: Umat Islam di Selangor, diseru memahami dan menghayati khutbah, bertajuk Tauliah Mengajar Satu Keperluan yang dibacakan khatib di semua masjid di seluruh negeri, pada Jumaat.

Memetik hantaran dimuat naik di Facebook Selangor Royal Office, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menerusi khutbah itu bertitah mengingatkan kepada sesiapa yang ingin mengajar agama atau diundang untuk mengajar di masjid atau surau seluruh Selangor, memohon Tauliah Mengajar.

Sebagai Ketua Agama Islam di Negeri Selangor seperti yang termaktub di bawah Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor, 1959 dan kuasa-kuasa yang diperuntukkan di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003, baginda mempunyai kuasa untuk menitahkan agar tauliah terhadap mana-mana pihak ditarik balik atas sebab-sebab tertentu demi memelihara kesucian agama Islam dan mengelak perpecahan dalam kalangan masyarakat Islam.

Justeru, memetik antara isi penting khutbah berkenaan, baginda bertitah sering memberi peringatan, hanya mereka yang benar-benar mahir dan mempunyai pengetahuan yang luas mengenai agama Islam sahaja boleh diberikan tauliah untuk mengajar atau ceramah di masjid atau surau di seluruh negeri.

Baginda turut menegaskan bahawa keperluan Tauliah Mengajar bukanlah untuk menghalang atau menyusahkan seseorang yang ingin mengajar agama.

Ia sebagai langkah pencegahan bagi memenuhi maqasid syariah dalam aspek memelihara agama Islam.

Oleh itu, bagi memastikan agama Islam terus terpelihara daripada sebarang anasir penyebaran ajaran salah, fitnah memfitnah dan bersangka buruk yang boleh menimbulkan kesan negatif terhadap agama, masyarakat dan negara maka tauliah diperlukan.

Baginda turut berpesan kepada Pemegang Tauliah supaya tidak mencampuradukkan isu agama dengan politik kepartian dan permusuhan sesama Islam, atau menyelitkan apa-apa perkara yang mempunyai kecenderungan bagi mendatangkan benci atau penghinaan terhadap mana-mana agama.

Atau membangkitkan perasaan tidak suka terhadap mana-mana kerajaan, atau mengembangkan perasaan buruk sangka dan permusuhan antara beberapa kaum atau golongan penduduk di negara ini.

Baginda juga senada dengan khatib yang menyeru agar semua Pemegang Tauliah MAIS, hendaklah mematuhi undang-undang atau apa-apa arahan, larangan atau perintah yang diberikan oleh pihak berkuasa agama.

Mereka juga hendaklah menggunakan Tauliah Mengajar pada situasi yang betul, bukannya untuk kepentingan dan keuntungan peribadi.

Tidak menyelitkan lawak jenaka yang melampau sehingga masyarakat hanya mengingati lawak berbanding ilmu yang disampaikan, yang akhirnya akan menyebabkan masyarakat lebih tertarik kepada penceramah hanya kerana lawaknya tetapi bukan kepada ilmunya.

Sementara itu, pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kerap menerima aduan bahawa masih terdapat masjid atau surau yang mengundang penceramah tanpa tauliah.

Malah penceramah yang tidak mempunyai tauliah, tahu tentang keperluan mendapatkan tauliah di negeri Selangor ini, masih degil untuk terus cuba memberi ceramah di masjid dan surau.

Malangnya, pihak berkuasa agama pula dipersalahkan dan diperlekehkan kononnya menghalang usaha dakwah dilakukan di masjid dan surau, apabila kebenaran ceramah di masjid dan surau tidak diberikan atas alasan tiada mempunyai tauliah.

Undang-undang telah menetapkan seseorang yang ingin mengajar agama, hendaklah mempunyai tauliah mengajar yang dikeluarkan berdasarkan Seksyen 118 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 pindaan 2016.

Pemohon akan melalui beberapa proses tapisan iaitu ujian penilaian fardu ain dan ujian nilai.

Sekiranya lulus, pemohon akan dipanggil temu duga, seterusnya diputuskan oleh Jawatankuasa Tauliah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Mana-mana individu yang mengajar, cuba mengajar atau menyebabkan pengajaran agama Islam tanpa tauliah adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 Pindaan 2016.

Terdahulu, baginda berkenan berangkat menunaikan Solat Jumaat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

Media sebelum ini melaporkan, Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, sebarang ceramah oleh seseorang individu yang diadakan di Selangor tidak boleh bersandarkan kerana ‘public figure’ semata-mata, tetapi perlu mempunyai sijil tauliah penceramah yang diiktiraf pihak berkuasa agensi agama negeri.

Pentadbir laman Facebook penceramah bebas, Mohamad Wadi Annuar Ayub dan Ustaz Azhar Idrus sebelum ini juga mengumumkan bahawa semua ceramah masing-masing di Selangor dibatalkan manakala di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya diteruskan.

Ia berikutan penceramah berkenaan tidak mempunyai tauliah mengajar tentang agama Islam di Selangor.

Author

Pilihan Editor