HomeHiburanTiket konsert Jilid Akhir: Ella Puteri Kota 'laku keras'!

Tiket konsert Jilid Akhir: Ella Puteri Kota ‘laku keras’!

CYBERJAYA: Penangan ratu rock, Ella yang bakal mengadakan konsert pada Jun depan ternyata mendapat permintaan yang luar biasa sehingga pihak penganjur, Hitman Solutions menambah satu hari lagi untuk konsert berkenaan.

Konsert Jilid Akhir: Ella Puteri Kota yang dijadual berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 10 Jun kini dilanjutkan hingga ke 11 Jun bagi hari kedua.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Hitman Solutions, Rohit Rampal, berkata mereka enggan mengecewakan peminat yang terlepas membeli tiket pada 10 Jun selepas licin terjual dalam tempoh 24 jam.

“Atas permintaan ramai yang menghantar mesej langsung dan ciapan di Twitter, kami memutuskan menambah satu malam lagi untuk konsert Ella.

“Kami akan merealisasikan perkara ini khusus buat peminat Ella,” katanya.

Menjengah di ruangan Instagram Ella, dilaporkan sudah 60 peratus tiket habis terjual bagi hari kedua tersebut.

“Hari kedua Jilid Akhir: Ella Puteri Kota sudah lebih 60% terjual !

“You guys are amazing. Bagi yang masih belum dapatkan tiket Jilid Akhir : Day 2, cepat-cepat layari www.hitmanlive.com sekarang sebelum kehabisan,” tulisnya.

Pada Isnin, Ella mencipta rekod baharu apabila tiket konsert Jilid Akhir: Ella Puteri Kota ‘sold out’ dalam masa 24 jam sahaja bagi artis Malaysia yang pernah dianjurkan di Axiata Arena.
Tiket konsert yang mula dijual jam 12 tengah hari itu terjual sebanyak 50% hanya dalam tempoh dua jam sahaja.

Bagaimanapun, penjualannya dihentikan buat sementara kerana lebih 25,000 membanjiri laman web menunggu untuk mendapatkan tiket. Kebanjiran itu mengakibatkan proses pembelian menjadi tergendala.

Pihak penganjur segera menyelesaikan isu terbabit dan penjualan disambung semula pada jam 5 petang hari sama.

Sebagai simbolik 35 tahun dalam industri muzik, Ella bakal menyampaikan 35 dendangan termasuk Sepi Sekuntum Mawar Merah, Standing In the Eyes of the World, Sembilu, Baldu Biru dan Retak.

Author

Pilihan Editor