HomeBeritaPolitikUMNO lanjut tempoh jawatan peringkat bahagian, MKT kepada 5 tahun - Ahmad...

UMNO lanjut tempoh jawatan peringkat bahagian, MKT kepada 5 tahun – Ahmad Maslan

 

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, jawatan disandang di peringkat bahagian dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) atas kemenangan pemilihan UMNO kali ini, kemungkinan dilanjutkan tempoh kepada lima tahun, berbanding tiga tahun sebelum ini.

Beliau berkata, ia berdasarkan pindaan klausa Perlembagaan parti yang terbaharu, membabitkan tempoh pimpinan parti yang diputuskan oleh Ahli MKT selepas setiap tiga tahun.

“Dalam Perlembagaan UMNO, ada klausa baharu pinda, ia (tempoh pimpinan) boleh dilanjutkan dalam tempoh enam bulan selepas pilihan raya (Pilihan Raya Negeri/PRN).

“Ada kemungkinan besar mereka yang terajui peringkat bahagian (Pemuda, Wanita, Puteri) dan MKT yang diumumkan kali ini, akan pimpin UMNO untuk lima tahun akan datang.

“Jadi, saya berharap mereka dapat menggalas tugas, kerana cabaran kita akan datang makin sukar bukan senang dengan kata lain kita menang,” katanya pada sidang media.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Amal Penyerahan Bantuan dan Sumbangan Persekolahan kepada anak yatim dan asnaf anjuran Pertubuhan Kebajikan Insaniah SRIKANDI (Srikandi), pada Ahad.

Turut hadir, Presiden SRIKANDI Malaysia, Datuk Norashikin Abd Ghani.

Justeru, Ahli Parlimen Pontian itu, juga menggesa jentera dan kepimpinan parti yang baharu, mengutamakan tugas untuk memenangi semula kerusi di enam PRN tidak lama lagi, seiring Langkah UMNO Bangkit 2.0 dalam tempoh tiga bulan ke hadapan ini.

Sementara itu, Ahmad Maslan yang juga Timbalan Menteri Kewangan itu, berkata pemilihan UMNO pada peringkat bahagian diadakan minggu lalu tidak menimbulkan sebarang isu, sekali gus membuktikan parti itu berada dalam keadaan baik tanpa sebarang kem seperti didakwa sesetengah pihak.

“Daripada 567 mesyuarat perwakilan yang diadakan hanya 20 saja bantahan diterima, jadi jumlah itu tidak sampai tiga peratus pun, tidak menerima banyak bantahan.

“Ini bermakna lagi 97 peratus itu berada dalam keadaan aman damai dan tenteram.

“Bagaimanapun, bagi pemilihan yang dilaksanakan semalam (kelmarin), kita belum kumpul lagi sama ada terdapat bantahan mahupun tidak, namun saya kira bantahan pada pertandingan ini tidak banyak, ini menunjukkan parti ini matang dalam menghadapi cabaran pemilihan,” katanya.

Mengulas lanjut dakwaan sesetengah pihak bahawa majoriti kemenangan pada pemilihan UMNO kali ini adalah ‘orang Presiden’, Ahmad mengulangi pendirian Presiden bahawa, dalam parti itu hanya ada kem UMNO.

“Tidak ada kem Presiden atau lain, kita sudah nyatakan berulang kali, ketika pengenalan calon pun sudah diberitahu.

“Itu yang bagusnya kita tak laksanakan pertandingan untuk jawatan tertinggi, sebab mahu elakkan berlakunya kem A atau B.

“Kita hanya harapkan ketika UMNO berada pada waktu sukar ini, ia tidak boleh dilihat sebagai parti yang berpecah belah. Sebab itu kita hanya ada satu kem UMNO saja,” katanya.

Author

Pilihan Editor