HomeHiburanAiman Tino akhiri zaman bujang esok 

Aiman Tino akhiri zaman bujang esok 

 

CYBERJAYA: Debaran makin terasa buat penyanyi, Aiman Tino, 25, apabila bakal bergelar suami kepada wanita pilihannya, Syarah Haifa, 24, pada 27 April ini.

Majlis akad nikah penyanyi yang popular dengan lagu Ku Rela Dibenci itu bakal berlangsung di sebuah dewan acara di Segambut pada Khamis ini, sekitar pukul 5 petang.

Bagi majlis resepsi pula bakal diadakan di Shah Alam, Selangor dengan jemputan seramai 750 tetamu yang turut membabitkan kedua-dua belah keluarga pada 6 Mei ini.

Bapa kepada penyanyi itu, Yusri Ishak berkata, walaupun masih muda, Aiman sudah bersedia untuk menggalas tanggungjawab sebagai suami.

“Biasalah, setiap bakal pengantin terutama lelaki akan berdepan pelbagai perasaan menjelang hari akad nikah. Jadi itu perkara biasa yang saya katakan pada Aiman.

“Saya yakin dia sudah bersedia menggalas amanah sebagai suami, selain pada masa rancak mengatur persediaan untuk majlis pernikahan dan resepsi mereka.

“Paling penting minta semua mendoakan semoga kedua-dua majlis ini dilancarkan,” katanya seperti dilapor Kosmo.

Menyingkap bibit pertemuan Aiman dan Syarah, mereka diperkenalkan kawan pada 2019 sebelum sepakat menjadi rakan bisnes perniagaan sekali gus melangkah ke fasa percintaan.

Oleh: AIN JAPRI (Pelatih USM)

Author

Pilihan Editor