HomeBeritaAzmin Ali kena saman RM20 juta, fitnah syarikat import telur dari India

Azmin Ali kena saman RM20 juta, fitnah syarikat import telur dari India

CYBERJAYA: Syarikat pengimport telur, J&E Advance Tech Sdn Bhd menuntut ganti rugi fitnah sebanyak RM20 juta daripada bekas Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kerana mendakwa pihaknya diberikan kontrak untuk mengimport telur dari India melalui rundingan terus.

Berdasarkan surat tuntutan bertarikh 3 April yang dihantar firma guaman Han & Zi, bekas Menteri Ekonomi itu turut dituntut untuk menarik balik kenyataan, membuat permohonan maaf serta berjanji tidak mengulangi perbuatan itu.

Peguam J&E Advance Tech Sdn Bhd berkata, dakwaan Mohamed Azmin dalam ucapannya adalah tidak benar dan berniat jahat dengan memutarbelitkan fakta.

Katanya, ucapan Mohamed Azmin didakwa memberi gambaran bahawa kerajaan korup dan tidak amanah serta anak guamnya tidak berprinsip serta menipu.

“Sekiranya kami tidak menerimai jawapan yang memuaskan dalam tempoh tujuh hari dari penerimaan surat ini, arahan kami adalah memulakan prosiding undang-undang terhadap anda,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Laporan sama menyatakan, tuntutan itu merujuk dakwaan Mohamed Azmin terhadap ahli perniagaan, Deepak Jaikishan yang dikatakan ada kaitan dengan isteri Datuk Seri Najib Razak iaitu Datin Seri Rosmah Mansor.

Memetik dakwaan Mohamed Azmin ketika berucap di Markas PAS di Taman Melewar, Gombak pada bulan lalu, beliau mendakwa kerajaan menerusi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan memberikan kontrak import telur dari India, secara terus kepada sebuah syarikat milik peniaga permaidani.

Mohamed Azmin mendakwa pemberian kontrak secara terus itu ternyata bercanggah dengan janji Kerajaan Perpaduan yang diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau turut mendakwa bahawa Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, turut membawa ahli perniagaan terbabit dalam lawatannya ke India sebelum ini.

Pada 28 Februari lalu, Mohamad Sabu menjelaskan hanya sebuah syarikat diberikan kebenaran mengimport telur dari India dan langkah itu diambil bagi menangani isu kekurangan bekalan telur dalam pasaran tempatan.

Bagaimanapun, Mohamad Sabu ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin dalam Dewan Rakyat, mengakui syarikat import telur dari India itu tidak melalui proses tender terbuka kerana ia adalah ‘special case’.

Author

Pilihan Editor