CYBERJAYA: Pengunduran Qi Razali sebagai pemain drum kumpulan OAG awal tahun ini menimbulkan pelbagai spekulasi dalam kalangan peminat kumpulan tersebut.
Qi Razali atau Qushairi Mohammed Razali, 46, tidak menyatakan punca mengapa dia keluar dari kumpulan tersebut.
Malah, ada ura-ura mengatakan terdapat persengketaan berlaku dalam kumpulan tersebut menyebabkan dia mengambil keputusan bergerak solo.
Bagaimanapun, Qi dilihat memuat naik gambar bersama vokalisnya Radhi di akaun Twitter miliknya dengan kapsyen ‘Surprise visit, bermaafan itu penting’ pada Rabu.
Radhi atau Muhammad Radhi Razali, 46, berkunjung ke rumah Qi untuk menziarah sempena Hari Raya Aidilfitri.
Menjengah di ruangan komen, rata-rata warga net meluahkan kesyukuran dan mendoakan hubungan persahabatan kekal selamanya.
“Syukur Alhamdulillah. Biasalah dalam perhubungan ada liku-liku dia, buang yang keruh ambil yang jernih.
“Terbaik lejen, tetap santai di posisi, selamat hari raya!.
“Orang Asia Genius. Semoga pengakhiran yang terbaik untuk kumpulan kegemaran saya ini,” tulisnya.
Oleh: AIN JAPRI (Pelatih USM)