HomeHiburanMaafkan, lepaskan, teruskan hidup - Ziana Zain

Maafkan, lepaskan, teruskan hidup – Ziana Zain

KUALA LUMPUR: Episod hitam dan trauma yang dialami penyanyi terkenal, Ziana Zain dalam perkahwinan bersama bekas suami, Armin Zaharin Ahmad Zambri telah menjadi sejarah.

Untuk rekod, Armin pernah terlepas hukuman penjara dengan ganti denda RM8,000 setelah dijatuhkan hukuman kerana mencederakan, mencilikan kemaluan serta dubur anak-anak bersama Ziana pada lima tahun lalu.

Sejarah hitam itu tidak mungkin dapat dihilangkan daripada ingatan tetapi hidup perlu diteruskan.

Penyanyi yang dikenali dengan Kak Gee itu berkata, dia sudah maafkan bekas suami untuk mendapat ketenangan hidup.

“Ibu selalu pesan maafkan orang yang aniaya kita agar tak bawa beban itu sampai akhirat, pembalasan baik buruk perbuatan orang serahkan pada Tuhan kerana Dia Maha Mengetahui. Sebagai hamba, Kak Gee nak hati lapang, fikiran lapang, cukup.

“Anak-anak juga selalu jumpa ayah mereka, Kak Gee tak nak jadikan anak-anak pendendam atau derhaka.

“Maafkan silap lama kita pun tak sempurna, lepaskan kemarahan dan teruskan hidup itu petua Kak Gee bangkit dan dapat ketenangan.

“Jika mahu bangkit kena tahu apa yang anda mahu dalam hidup, nak kekal sama atau ubah hidup dengan lebih baik, its up to you,” katanya kepada media.

Ziana Zain antara artis jemputan pada Majlis Berbuka Puasa Rizman Ruzaini dengan kerjasama Hotel Shangri La di sini.

Seramai 400 jemputan yang hadir termasuk anak yatim, asnaf, model, artis, pengamal media dan semua rakan strategik yang berkolaborasi dengan jenama RR.

Tambah Ziana, beliau tidak halang anaknya berjumpa bekas suami.

“Ibu bapa adalah contoh untuk anak-anak, jangan cakap perkara negatif tentang perkara lalu kita bagi peluang orang tebus silap mereka, Tuhan bagi peluang kepada kita pula, ” katanya.

Terdahulu, Armin Zaharin ditahan pada 2 Mac 2018 selepas Ziana atau nama sebenarnya Siti Roziana Zin, membuat laporan polis pada 27 Feb 2018.

Ziana yang popular dengan lagu ‘Madah Berhelah’ dan Armin Zaharin, sah bercerai dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada 12 Julai 2018.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 9 Mei 1998 dan dikurniakan tiga anak lelaki dan seorang perempuan.

 

Author

Pilihan Editor