HomeBeritaPasangan Kuala Lipis beri sinar buat anak yatim piatu

Pasangan Kuala Lipis beri sinar buat anak yatim piatu

KUALA LUMPUR: Kehadiran hero dan heroin kepada anak yatim dan asnaf sekitar Pagar Sasar, Kuala Lipis memberi sinar baharu kepada mereka untuk melangsungkan hidup serta bertahan selagi nyawa dikandung badan.

Di kala si anak kecil tiada lagi tempat bergantung, Datuk Ruzi@Nata Yusoh dan isteri, hadir menghulurkan bantuan dalam pelbagai bentuk termasuk pendidikan.

Bagi kanak-kanak, Mohd Zuhairi Zukri, 10, dia dan adiknya, Mohd Daniel, 9, yang kehilangan kedua ibu bapanya sejak masing-masing ketika itu berusia lapan dan tujuh tahun, kehadiran Ayahanda dan Bonda (panggilan kepada Ruzi dan isteri) melegakan hati mereka.

Mohd Zuhairi berkata, arwah ayahnya kembali menghadap Ilahi terlebih dahulu kerana sakit jantung, diikuti ibunya kerana dikesan terkena penyakit kencing tikus.

“Ketika itu tiada sesiapa saya boleh cari, kecuali nenek. Kemudian Bonda cari kami. Gembira sangat sebab Bonda banyak bantu, kali ini baju raya dan buka puasa di KL.

“Ini kali kedua dapat berbuka di KL, naik bas, tapi pening, tapi sajalah. Bonda belanja baju raya warna maroon,” katanya.

Mohd Zuhairi antara kira-kira 20 anak yatim yang ditemui pada program Berbuka Puasa bersama Persatuan Pendidikan dan Usahawan Anak Yatim Lipis, di Hotel Adamson, di sini, baru-baru ini.

Kesemuanya dibawa dari Lipis ke hotel berkenaan, bagi memberi peluang kepada mereka merasai suasana berbuka puasa di hotel di ibu negara, selain menggembirakan mereka.

Meskipun masih usia jagung, Mohd Zuhairi kelihatan cekal dan kuat, manakala adiknya lebih berani berdepan dengan orang ramai.

Bagaimanapun, mudah untuk orang dewasa menyeka perasaan dan jiwa paling dalam kanak-kanak berkenaan, yang sebenarnya sangat merindui ibu bapanya.

“Setiap kali raya, memang sedih sebab kenang mak ayah dah tak ada. Saya dan adik hilangkan rasa sedih dengan melawat mereka di kubur saja.

“Adik pun selalu luah, nak balik Sabah. Kami sama-sama pernah menangis rindukan ibu,” katanya yang bercita-cita untuk menjadi seorang pengajar.

Ruzi sebelum ini dilaporkan berkata, persatuan berkenaan menunggu penempatan baharu di Kampung Pagar Sasar, Lipis untuk anak yatim sejak 20 tahun lalu.

Ia sekali gus menelan belanja kos besar dalam tempoh itu kerana perlu melaksanakan program di luar berikutan kesemua anak yatim berkenaan masih tinggal bersama ibu/ayah masing-masing.

Tambahnya, Kampung Pagar Sasar adalah kawasan mundur dan kebanyakannya bekerja kampung atau penoreh getah.

“Sehubungan itu, harapan kami adalah untuk membantu anak-anak yatim, yatim piatu dan asnaf ini dari zero to hero agar mereka dapat menyumbang balik dan menaik taraf hidup mereka,” katanya.

Author

Pilihan Editor