HomeGaya HidupTart nanas, kuih raya paling ‘famous’ di Aidilfitri 

Tart nanas, kuih raya paling ‘famous’ di Aidilfitri 

 

CYBERJAYA: Sempena Aidilfitri, pelbagai jenis kuih raya akan dihidangkan kepada tetamu yang berkunjung sama ada kuih tradisional mahupun moden.

Menariknya, setiap jenis kuih raya itu mempunyai keistimewaan tersendiri begitu juga dengan kuih tart nanas.

Campuran adunan antara jem nanas yang manis dan doh tart yang tawar lalu dioles dengan kuning telur atasnya membuatkan kuih tersebut mempunyai keunikannya tersendiri.

Walaupun banyak kuih moden yang boleh didapati pada hari raya pada masa kini seperti tart cadbury, rainbow cookies, nutella pods dan sebagainya, namun tart nanas masih kekal releval dan menjadi kuih paling popular dalam kalangan rakyat Malaysia.

Hasil tinjauan MEDIA VARIASI terhadap orang awam mengenai kuih raya pilihan mendapati, ramai yang gemar memakan kuih tart nanas.

Salah seorang anak jati Perak, Aqilah mengatakan keenakan kuih tart nanas itu bergantung pada jenis inti jem tart tersebut.

“Dia punya inti tu, kalau tu sedap, sedaplah tart nanas tu,” katanya.

Malah, ada juga yang berkongsi kisah menyatakan tart nanas bukanlah sekadar kuih raya semata kerana kuih itu sentiasa menggamit memori indah bersama keluarga.

“Dulu arwah mak saya suka buat tart nanas jadi sejak tu saya suka kuih ni.

“Kita buat homemade besar jem dia tu, jadi rasa semua cukup dan memang kegemaran saya tart nanas tu,” kata Syifaq.

Bercerita tentang cara pembuatan tart nanas yang enak, ada rahsia yang tidak ramai ketahui iaitu penggunaan minyak sapi dalam adunan boleh membuatkan rasa yang berbeza serta tart akan menjadi gebu dan lembut sehingga cair di dalam mulut.

Selain fungsi minyak sapi untuk menambah kemanisan, ia juga boleh mengekalkan kelembapan kepada tart anda.

Justeru, jangan lupa cuba guna minyak sapi ketika membuat kuih tart nanas ini ya!

Oleh: AIN JAPRI (Pelatih USM)

Author

Pilihan Editor