KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan selamat Hari Bomba Sedunia yang disambut hari ini.
Turut menzahirkan ucapan itu ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Poster ucapan Seri Paduka berdua dimuat naik di Facebook Istana Negara.
Hari Bomba Sedunia disambut pada 4 Mei setiap tahun dengan tema sambutan kali ini ialah “Bomba Tonggak Penyelamatan Negara”.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof turut mengucapkan Selamat Hari Bomba Sedunia 2023 kepada seluruh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
“Sesungguhnya anda semua adalah wira negara yang sanggup berkorban nyawa dalam melaksanakan misi dan amanah demi rakyat dan negara tercinta… Bomba Tonggak Penyelamatan Negara,” katanya menerusi catatan di Facebook hari ini.
Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menerusi ciapan di Twitter turut mengucapkan Selamat Hari Bomba Sedunia kepada seluruh anggota bomba.
“Jasa, bakti serta pengorbanan anda sememangnya tidak terbatas,” katanya.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin juga menzahirkan penghargaan terhadap pengorbanan seluruh anggotanya yang juga terkenal dengan julukan Wira Merah.
“Terima kasih atas pengorbanan wira-wira merah yang berjuang menyelamatkan nyawa dan harta benda masyarakat… Sesungguhnya pekerjaan kita ini adalah kerja mulia. Tatkala mereka lari daripada bencana, kita masuk untuk menyelamatkan nyawa.
“Semoga kita semua sentiasa dirahmati oleh Allah SWT… Selamat Menyambut Hari Anggota Bomba Sedunia 2023,” katanya dalam catatan di Facebook JBPM hari ini. – BERNAMA